fomca logo23 Mac 2021
SHAH ALAM - Purata penggunaan air per kapita harian oleh rakyat Malaysia lebih tinggi daripada yang disarankan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia, Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, PBB telah menetapkan keperluan air sebanyak 165 liter seorang pada setiap hari.

Menurut Dr Marimuthu, berdasarkan statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), rakyat Malaysia menggunakan purata 201 liter air setiap orang sehari bersamaan dengan 134 botol (kapasiti 1.5 liter setiap satu).

“Masyarakat perlu diberikan kesedaran dan mengetahui kepentingan sumber air dan kesan negatif jika terus mencemarkannya. Kerajaan berhasrat mengurangkan penggunaan air hingga 180 liter setiap orang sehari pada tahun 2025.

“Penggunaan air rakyat Malaysia tinggi iaitu sebanyak 219 liter setiap orang setiap hari berbanding kadar 160 liter sehari yang disyorkan. Tahap kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia memainkan peranan penting bagi mengurangkan penggunaan air kerana mereka (rakyat) merasa selesa dan menganggap negara kita mempunyai sumber air yang banyak,” katanya dalam satu kenyataan bersama Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia dan Forum Air Malaysia pada Isnin.

Pada 22 Mac 2021, seluruh dunia mengadakan sambutan Hari Air Sedunia secara dalam talian (online) kerana norma sosial baru untuk membendung wabak Covid-19.

Dr Marimuthu berkata, Hari Air Sedunia berkaitan dengan sambutan air dan memberikan kesedaran mengenai krisis air secara global dan fokus utama untuk menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 6: air dan sanitasi untuk semua pada tahun 2030.

“Tema Hari Air Sedunia 2021 adalah menghargai air. Nilai air lebih banyak daripada harganya dan air mempunyai nilai yang sangat kompleks dan besar untuk isi rumah, makanan, budaya, kesihatan, pendidikan, ekonomi dan integriti persekitaran semula jadi kita.

“Jika kita terlepas pandang mana-mana nilai-nilai ini, cara pengurusan yang salah untuk sumber yang terbatas dan tidak terganti ini akan memberi kesan yang besar kepada manusia. SDG 6 adalah untuk memastikan air dan sanitasi untuk semua,” katanya.

Beliau berkata, tanpa pemahaman menyeluruh mengenai nilai pelbagai dimensi ini, kita tidak akan dapat melindungi sumber yang kritikal ini untuk kepentingan semua orang.

“Walaupun Malaysia dilimpahi dengan sumber air yang melimpah, negara ini mengalami peningkatan permintaan bekalan air yang membimbangkan dalam beberapa tahun ini.

“Ramai yang beranggapan sumber semula jadi ini sesuatu yang biasa dan menganggap bekalan air bersih adalah mudah dan murah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah kekurangan bekalan air dan sumber air bersih tidak dapat dielakkan, jika tiada tindakan sewajarnya diambil dengan segera.

“Negara kita ada banyak permintaan untuk bekalan air. Mereka memberi tekanan pada kelestarian sumber air negara ini. Dengan pengurusan air yang tepat, penyusunan strategi yang baik, perundangan yang efektif, penyelenggaraan sumber air yang tepat dapat diwujudkan.

“Masalah yang berkaitan dengan air mesti ditangani segera dan untuk jangka masa panjang bagi memastikan ketersediaan dan kelestarian sumber air,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya gagal, kita tidak akan dapat mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs) 2030, iaitu memastikan semua pihak mendapat air.


Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/129828/Purata-penggunaan-air-di-Malaysia-tinggi