Tenaga boleh baharu (TBB) ialah mana-mana sumber tenaga yang terhasil secara semula jadi dalam tempoh masa yang singkat. Ia diperoleh, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dari sumber seperti matahari atau dari pergerakan semula jadi sumber yang lain dan mekanisme alam sekitar. Tenaga boleh baharu tidak termasuk sumber tenaga yang diperoleh daripada bahan api fosil, produk sisa daripada sumber fosil, atau bahan buangan daripada sumber bukan organik.
 
Sebagaimana yang ditetapkan dalam bajet 2017, tumpuan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) adalah kepada perkembangan hijau seperti yang dijangkakan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).
 
Prospek tenaga boleh baharu di Malaysia adalah tinggi. Hal ini demikian kerana, kedudukan demografi Malaysia di rantau tropika membolehkan Malaysia menerima halaju angin dengan kadar yang tinggi, sinaran matahari yang panjang dengan kadar 12 jam sehari dan jaluran pantai memanjang yang memberikan peluang kepada Malaysia untuk membangunkan sumber tenaga boleh baharu. 
 
Tenaga boleh baharu mampu membantu dari segi kewangan kepada negara berbanding dengan penggunaan bahan api fosil seperti minyak dan gas. Hal ini disebabkan oleh rizab gas dan minyak kebangsaan yang semakin berkurangan,
 
Malaysia perlu bergantung kepada pasaran global, yang mungkin akan mengalami isu-isu seperti permintaan yang semakin meningkat, bekalan yang terhad dan ketidaktentuan harga pasaran yang akan membebankan sektor tenaga. Tenaga boleh baharu ialah sektor tenaga yang tidak perlu bergantung pada pasaran dunia dan tidak perlu mengimport sumber tenaga dari negara luar. 
 
Dengan pembangunan tenaga boleh baharu di Malaysia, maka ia akan memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai untuk menceburkan diri dalam teknologi baharu. Oleh itu, kadar pengangguran juga dapat dikurangkan dan ekonomi Malaysia juga akan menjadi lebih stabil. 
 
Tenaga boleh baharu juga akan memberi jaminan dari segi keselamatan bekalan elektrik kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api yang diimport seperti arang batu.
 
Berdasarkan laporan tahunan Suruhanjaya Tenaga (ST), sebanyak 24.63 juta tan metrik arang batu untuk kegunaan stesen-stesen jana kuasa arang batu di Semenanjung diimport dari luar negara. Indonesia merupakan pembekal tertinggi dengan bekalan sebanyak 56%, diikuti Australia 30%, Rusia 9% dan Afrika Selatan 5%. Berdasarkan kajian terkini ke atas kadar penggunaan tenaga, dunia akan mengalami krisis kekurangan tenaga bagi sumber gas asli dalam tempoh 60 tahun. Jangka hayat arang batu pula hanya mampu bertahan selama 130 tahun dari sekarang.
 
Menurut Mario Pezzini, Pengarah Pusat Pembangunan OECD dan Penasihat Khas kepada Setiausaha Pembangunan OECD, langkah untuk mengurangkan perubahan iklim dan peralihan kepada ekonomi yang menggunakan rendah karbon, amatlah penting bagi negara-negara ASEAN untuk menerokai potensi bagi tenaga boleh baharu.
 
Hal ini selaras dengan teras strategik Dasar Perubahan Iklim Negara, iaitu pemantapan dasar tenaga perlu mengambil kira amalan pengurusan yang meningkatkan tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga. Pembangunan sumber tenaga boleh baharu dapat mengurangkan impak perubahan iklim negara yang kian meruncing saban hari di Malaysia. 
 
Kesimpulannya, tenaga boleh baharu merupakan salah satu sumber tenaga yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan kerana ia lebih menguntungkan negara dari segi pengurangan kos pengimportan bahan api fosil dari negara luar.
 
Selain itu, ia juga dapat mengurangkan pelepasan karbon atau gas rumah hijau akibat dari pembakaran bahan api fosil untuk menjana tenaga elektrik. Tenaga boleh baharu adalah lebih menguntungkan dan penggunaannya adalah selamat.
 
Nur Imani Abdullah
Eksekutif Kajian & Dasar 
Persatuan Pengguna Tenaga Dan Air Malaysia (WECAM)