fomca logoMarch 23, 2021 11:43 PM
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa pihak berkuasa supaya lebih tegas dalam memantau maklumat pelabelan pengilang atau pengeluar serta tarikh luput pada telur yang dijual kepada pengguna.

Timbalan Setiausaha Agungnya Nur Asyikin Aminuddin dalam kenyataan hari ini berkata selepas notis makluman dikeluarkan Singapura yang bertindak menarik balik telur keluaran syarikat Malaysia daripada pasaran di republik itu, Fomca menerima kira-kira 1,000 panggilan pengguna yang menzahirkan kebimbangan mereka terhadap tahap keselamatan telur keluaran negara.

Jelasnya berdasarkan tinjauan Fomca di beberapa pasar raya kecil dan kedai runcit mendapati maklumat pelabelan pada papan telur tidak lengkap malah ada juga langsung tiada maklumat mengenai pengilang atau pengeluar.

“Selain itu, telur-telur yang terjual di kedai runcit kebiasaannya tidak mempunyai tarikh luput untuk rujukan pengguna. Perkara ini, menyukarkan pengguna untuk mengesan sama ada produk telur yang dibeli oleh mereka terlibat atau tidak dengan ‘batch’ keluaran dari ladang yang terbabit.

“Melainkan jika pihak yang bertanggungjawab seperti pasar raya AEON yang mengeluarkan notis tarik balik untuk makluman pelanggan mereka,” katanya dalam kenyataan itu.

Pada 13 Mac lepas, Singapura mengarahkan empat pengimport menarik balik telur yang dihasilkan Lay Hong Bhd Layer Farm Jeram, Selangor daripada pasaran negara tersebut.

Terbaru pada 20 Mac, Singapura sekali lagi menarik balik telur yang diimport daripada sebuah lagi ladang Malaysia dan Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan telur terbabit mempunyai cetakan kod “CEM014”.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/23/tegas-isu-label-pengilang-maklumat-pada-telur-kata-fomca/