SAYA tertarik dengan satu rencana yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang menggambarkan kefahaman pengguna tentang pertalian yang kabur antara kos sara hidup dengan Indeks Harga Pengguna (IHP), iaitu petunjuk yang digunakan bagi mengukur purata harga barangan dan perkhidmatan yang pengguna belanja berdasarkan harga pasaran semasa, yang dinilai secara pukal.
IHP ini diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan setiap bulan dan perangkaan tahunan diguna untuk menentukan kadar inflasi negara.
Rencana itu memetik tiga faktor yang dihuraikan oleh Bank Negara terjadinya kefahaman yang sedemikian. Pertama, kos sara hidup dan IHP adalah dua petunjuk berbeza. Kedua, kos sara hidup tidak semestinya dipengaruhi IHP, sebalik ada juga penyebab lain, terutamanya punca pendapatan, dan ketiga, turun-naik harga barangan pengguna mencetuskan persepsi berbeza dalam kalangan pengguna.
Huraian itu memberikan pembaca kesempatan untuk memahami serba sedikit kefahaman secara am mengenai realiti yang pengguna hadapi dalam mengurus kewangan dan kehidupan seharian mereka.
Pun begitu, rencana itu terhenti begitu saja tanpa mengimbangi realiti kehidupan berkaitan kos sara hidup dengan peranan kerajaan dan peranan pengguna iaitu rakyat itu sendiri. Maka teringat saya kepada forum yang kami baru saja anjurkan iaitu mengenai penyalahgunaan dadah di negara ini.
Banyak yang kerajaan sudah lakukan bagi mengekang gejala ini tapi saban tahun bilangan penagih baru kian meningkat. Salah satu puncanya ialah usaha membanteras penyalahgunaan dadah seolah-olah tanggungjawab kerajaan semata-mata, manakala masyarakat sekadar melihat dan berpeluk tubuh.
Nampaknya dalam isu menangani peningkatan kos sara hidup ini pun budayanya sama.
Justeru, saya ingin menyambung rencana yang disiarkan itu bagi mengimbangi keadaan serta memberikan perspektif lebih seimbang antara realiti, persepsi dan tanggungjawab dalam menangani kos sara hidup.
Pertama, saya ingin mengajak pembaca sekalian menerima hakikat jika kita inginkan pertumbuhan ekonomi, kita juga wajib menerima, hadir bersama pertumbuhan ekonomi itu ialah inflasi. Manakan mungkin kita menikmati pertumbuhan ekonomi tetapi pada masa sama kita tak mahu adanya inflasi. Kenaikan kos sara hidup adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan.
Tanggungjawab kerajaan ialah memastikan kadar pertumbuhan mesti jauh lebih tinggi berbanding kadar inflasi.
Hakikat kedua ialah sekalipun ada pertumbuhan ekonomi, tidak bermakna semua bisnes, baik kecil mahupun besar akan turut berkembang dan gaji semua kategori pekerjaan akan meningkat seiring dengan itu. Banyak juga bisnes yang menguncup, malah ada yang tutup kedai.
Ada juga mereka yang gajinya menurun malah ramai pula yang hilang pekerjaan. Begitu jugalah dengan IHP yang sekadar memberikan kita petunjuk harga purata bagi semua kategori barangan dan perkhidmatan. Ada harga barang naik tapi ada juga harga barang yang menurun.
Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) boleh mengawal harga sesetengah barangan dan perkhidmatan, tetapi tidak semua. Banyak lagi barangan dan perkhidmatan yang berada di beberapa kementerian lain.
Jika setakat barangan yang dikategorikan sebagai komoditi, seperti minyak masak, bahan api mudahlah untuk kerajaan mengawalnya, tetapi tidak bagi produk atau barangan yang kuat dipengaruhi faktor permintaan berbanding bekalan, seperti ikan, sayur dan buah-buahan.
Tetapi jika kadar inflasi semasa meningkat mendadak, maksudnya peningkatan harga terlalu tinggi untuk sesuatu tempoh masa, sewajarnyalah kerajaan campur tangan. Ini pernah dilakukan beberapa tahun lepas, bagi mengekang kenaikan harga melampau beberapa jenis ikan import.
Hakikat ketiga yang kita semua wajar fahami ialah bidang kuasa kementerian. Dalam bab barangan pengguna ini, bukan semua berada di bawah bidang kuasa KPDNKK. Ada yang di bawah Kementerian Pertanian.
Ada juga di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, malah Kementerian Pelancongan. Harga barang binaan misalnya, sekalipun tidak menjejaskan secara langsung pengguna, tempias kepada kenaikan harga simen yang akan memberi kesan berantai kepada kenaikan kos barangan atau perkhidmatan lain.
Begitu juga kenaikan harga bahan api, menyebabkan kos pengangkutan meningkat, membentuk pula kesan berantai kepada kenaikan kos sara hidup lain.
Sebagai contoh, IHP bagi Mac 2017 naik ke paras 5.1 peratus berbanding Februari 2017 pada paras 4.5 (kadar inflasi tahunan kekal pada paras 2.5 peratus) kerana peningkatan mendadak barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan pengangkutan (23.0 peratus), walhal IHP bagi barangan dalam kumpulan makanan dan minuman hanya meningkat sekitar 4.0 peratus.
Hakikat keempat dan yang paling penting ialah kemampuan pengguna mengadaptasi gaya hidup mereka dengan perubahan kos sara hidup semasa. Hasil pengamatan saya dan perbualan lisan dengan rakan-rakan mendapati kita belum membina budaya mampan dalam mengimbangi gaya hidup dengan kos sara hidup semasa.
Masyarakat kita terlalu bergantung kepada peranan kerajaan menyelesaikan isu-isu semasa sekalipun yang sepatutnya mereka sendiri mengambil langkah proaktif bagi menanganinya.
Samalah juga dalam kes atau usaha membanteras penyalahgunaan dadah. Maka, jika dalam menangani isu kos sara hidup ini rakyat juga tidak tampil mengambil langkah-langkah positif atau proaktif, masalah ini akan terus menghantui kerajaan. Salah hemat boleh dieksploitasi menjadi isu politik oleh sesetengah pihak yang ghairah ‘menangguk di air keruh’.
Bagi Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi, rakyat wajib dari sekarang membina budaya kepenggunaan. Rakyat perlu didedahkan kepada betapa pentingnya: (i) mempertingkatkan pengetahuan mengenai kepenggunaan, (ii) gerakan kepenggunaan yang boleh membantu atau bersama kerajaan mengajak rakyat membina budaya berbelanja secara berhemat, atau berperanan sebagai watchdog kepada kerajaan dalam memantau kenaikan harga barang. Malah mereka ini juga boleh berperanan sebagai golongan pendesak, bagi kerajaan mengawal harga sesuatu barang atau perkhidmatan yang ada kepentingan rakyat.
Pada hemat saya, jika kita hendak menjadikan negara ini makmur seperti New Zealand, rakyat wajib berganding bahu dengan kerajaan bagi memupuk dan membentuk budaya kepenggunaan. Dalam bab ini saya setuju dengan penulis rencana itu untuk inisiatif ini diterajui oleh KPDNKK, kerana nampaknya tiada kementerian atau pihak yang aktif mempromosikan inisiatif ini.
Kita namakan inisiatif ini sebagai Inisiatif Kerjasama Rakyat & Kerajaan, ringkasnya Ikrak. Menerusi inisiatif ini kerajaan dan rakyat wajib bersama dan sepakat membina kekuatan dan kemampuan dalam menggerakkan budaya kepenggunaan ini dalam menangani isu-isu kepentingan rakyat seperti isu kos sara hidup. Malah isu-isu lain, termasuk penyalahgunaan dadah pun boleh dan mampu ditangani bersama.
PROF. DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).
SUMBER : 20 JUN 2017 UTUSAN
https://www.utusan.com.my/rencana/utama/kos-sara-hidup-antara-realiti-persepsi-amp-ihp-1.495149