KUALA LUMPUR: Orang ramai yang akan pulang ke kampung masing-masing sempena perayaan Aidilfitri minggu ini dinasihatkan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata analisis Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 95 peratus daripada kemalangan berpunca akibat kecuaian pengguna jalan raya sendiri.

Katanya, setiap pengguna jalan raya yang ingin memulakan perjalanan jauh wajar merancang perjalanan mereka supaya dapat tiba ke destinasi dengan selamat.

"Selain mematuhi undang-undang, mereka (pengguna jalan raya) tidak sepatutnya meneruskan perjalanan jika rasa letih atau mengantuk.

 

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya memberi sepenuh tumpuan ketika memandu atau menunggang motosikal dan tidak menggunakan telefon bimbit.

"Ramai yang tidak sedar perbuatan itu sebenarnya boleh mengakibatkan kemalangan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lam Thye yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), berkata rakyat Malaysia perlu berazam untuk sama-sama menurunkan kadar kemalangan dan tidak menjadi sebahagian daripada statistik kemalangan Ops Selamat tahun ini.

Kata beliau, Ops Selamat 11 yang diadakan selama 15 hari bermula 18 Jun lalu perlu menjadi pendorong orang ramai untuk mempraktikkan sikap patuh terhadap undang-undang jalan raya.

"Mustahil untuk kita capai sifar kemalangan jalan raya, namun, kita boleh menurunkan kadar kemalangan setiap tahun jika tahap kesedaran dalam kemalangan pengguna jalan raya dapat ditingkatkan.

"Operasi dan penguatkusaaan undang-undang dilaksanakan bukan untuk menyusahkan orang ramai tetapi ia diadakan untuk mendidik dan menimbulkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya," katanya.

Tambah beliau, usaha pihak berkuasa dalam mengurangkan kadar kemalangan akan menjadi sia-sia sekiranya masyarakat tidak menitikberatkan keselamatan.

Ops Selamat 9 yang diadakan tahun lalu mencatatkan peningkatan kes kemalangan sebanyak 524 kes berbanding tahun sebelumnya.

Kes kemalangan maut pula dicatatkan menurun daripada 303 kes kepada 273 manakala jumlah kematian daripada 330 kepada 299 kematian.

Sumber:- 20 JUN 2017, BERITA HARIAN, http://www.bharian.com.my/node/295075