MERUJUK data kemalangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kemalangan jalan raya semakin meningkat dari tahun ke tahun selari dengan pertambahan populasi negara.

Sebagai contoh, pada 2014, dengan populasi negara 30.3 juta, jumlah kemalangan jalan raya ialah 476,196.

Pada 2015 pula, dengan populasi 31.2 juta, jumlah kemalangan ialah 489,606. Pada tahun lalu pula, jumlah kemalangan ialah 521,466 dengan populasi 31.7 juta. Jadi, apakah cara untuk mengurangkan jumlah kemalangan ini?

Kita sedia maklum bahawa pihak kerajaan menguatkuasakan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) pada 1 April. Namun begitu mengapa kemalangan yang berpunca daripada kecuaian pemandu semakin menjadi-jadi tahun ini?

Sebagai contoh, isu kereta yang dipandu secara menentang arus di lebuh raya yang merempuh kereta orang yang tidak bersalah sehingga menyebabkan kematian. Ada juga kes kereta yang berhenti untuk masuk persimpangan jalan dirempuh, menyebabkan kematian pasangan suami isteri.

Disebabkan kecuaian pemandu, anak mereka menjadi yatim piatu sekelip mata. Kemalangan sedemikian boleh dielak jika pemandu memandu secara berhemah.

 

Mengapakah kemalangan sedemikian boleh berlaku? Adakah kerana demerit kesalahan jalan raya yang dikenakan tidak cukup berat lagi? Jika dibandingkan dengan negara luar, terdapat sesetengah negara yang mengamalkan bayaran saman mengikut hasil pendapatan masing-masing. Ini dikira adil untuk golongan kurang berkemampuan, golongan pertengahan mahupun golongan yang berada.

Selain itu, pemandu kenderaan berat perlu dilatih cara pemanduan yang selamat dengan lebih terperinci kerana sebarang kecuaian kecil boleh menyebabkan kecelakaan kepada pengguna jalan raya yang lain yang turut berkongsi jalan raya yang sama.

Sebagai contoh, kemalangan di Jempol tempoh hari, akibat kecuaian pemandu treler yang terburu-buru memotong sebuah motosikal telah menyebabkan lapan orang meninggal dalam kemalangan tersebut.

Tambahan pula jika dilihat dengan cara pemanduan mereka di kawasan pekan ataupun jalan negeri, mereka gemar memandu dengan laju terutama jika kenderaan tanpa muatan. Apakah had laju yang ditetapkan untuk kenderaan berat bagi jalan negeri?

Tahap penguatkuasaan

Bagaimana dengan tahap penguatkuasaan di jalan negeri sebagai contoh di kawasan Jempol terhadap kenderaan berat sehingga mereka cenderung untuk memandu dengan laju?

Jika benar pemandu kenderaan berat sering memandu laju kerana perlu mengejar trip perjalanan yang telah ditetapkan oleh pihak majikan, maka pihak majikan juga perlu bertanggungjawab di atas segala kemalangan disebabkan oleh pekerja mereka supaya ia boleh memberikan pengajaran terhadap pihak majikan agar pihak mereka lebih mengutamakan soal keselamatan jalan raya.

Selain itu, jika dilihat di kawasan yang padat dengan kawasan perumahan, ianya kelihatan seperti trend bagi kenderaan berat untuk diparkir di bahu jalan di kawasan perumahan. Siapa yang membenarkan kenderaan berat tersebut parkir kenderaan ikut suka hati di bahu jalan raya terutama di kawasan yang padat dengan taman perumahan?

Di manakah fungsi agensi yang sepatutnya memantau dengan isu kenderaan berat? Diharap selepas kemalangan maut di Jempol tempoh hari dapat membuka mata agensi yang bertanggungjawab dalam mengawal selia isu kenderaan berat dan diharap juga tahap penguatkuasaan terhadap pemandu kenderaan berat dan juga pemilik kenderaan itu dapat lebih dipertingkatkan lagi untuk mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas perkara ini.

Di samping itu, menyentuh isu kemalangan di lebuh raya PLUS pada dua minggu lalu. Jika dilihat pada gambar kemalangan, terdapat sebuah kerusi khas bayi tercampak keluar dari kenderaan. Mengapakah kerusi khas boleh tercampak keluar ketika kemalangan? Adakah ia tidak dipasang dengan betul?

Adakah ibu bapa tahu cara pemasangan kerusi khas yang betul? Atau adakah kerusi khas tidak mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan? Atau adakah kerusi khas itu salah satu produk yang perlu ditarik balik? Untuk pengetahuan, tahun ini saja terdapat pelbagai jenama kerusi khas yang ditarik balik.

Rujukan pengguna

Oleh itu, ingin kami tegaskan di sini portal rasmi bagi senarai produk yang ditarik balik amat berguna untuk rujukan pengguna di Malaysia tidak kira sama ada produk berkenaan perlu ditarik balik secara sukarela atau mandatori. Pengguna akan lebih berwaspada dengan produk yang dibeli jika terdapat notifikasi panggilan balik daripada portal rasmi terbabit.

Bersempena dengan musim balik kampung tidak lama lagi, diharap pengguna kenderaan yang terbabit dengan isu beg udara Takata dapat ke mana-mana cawangan servis kenderaan masing-masing untuk menukar beg udara yang lebih selamat. Bagi ibubapa yang berhajat untuk membeli kerusi khas untuk bayi anda, sila pastikan kerusi khas tersebut mematuhi peraturan ECE R44/04 dan juga mempunyai standard ISOFIX. Diharap juga pihak yang bertanggungjawab dapat memantau cara pemanduan kenderaan berat yang semakin hari semakin 'mengganas' di jalan raya.

Kepada pemandu yang akan pulang berhari raya di kampung halaman, pandulah dengan cermat dan ingatlah orang-orang yang tersayang yang setia menunggu kepulangan anda. Biar lambat, asal selamat!

OLEH : Nur Asyikin Aminuddin

Sumber :-  23 JUN 2017, BERITA HARIAN, https://www.bharian.com.my/node/295772