Petaling Jaya: Cukup untuk memberi makan tujuh juta orang sehari, itu data pembaziran 8,000 tan makanan yang dilakukan rakyat Malaysia setiap hari.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Nor Siti Aishah Said berkata, makanan adalah komposisi tertinggi iaitu 45 peratus daripada sisa pepejal di tapak pelupusan sampah seluruh negara.

Menurutnya, pembuangan makanan itu berlaku merangkumi sepanjang proses persiapan, pengeluaran dan pemprosesan makanan serta sewaktu sesi makan.

“Kira-kira 20 peratus sisa itu sewaktu dibuang masih boleh dimakan dan boleh dielakkan daripada dibuang.

“Keadaan itu boleh dielakkan sekiranya rakyat Malaysia lebih prihatin dalam soal pengambilan makanan dengan hanya mengambil yang perlu.

“Berdasarkan kajian SWCorp yang lain pula, satu isi rumah terdiri daripada lima orang didapati membelanjakan RM900 sebulan untuk membeli keperluan makanan. Suku daripadanya dibuang iaitu pembaziran RM225 sebulan atau RM2,700 setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi pembentang dalam seminar Pengurusan Sisa Makanan Yang Lestari ‘Feed People, Not Landfills’, di sini, semalam.

Sementara itu, Dekan Kluster Penyelidikan Sains Mapan Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Sumiani Yusoff berkata, pembuangan sisa makanan bukan hanya sesuatu yang membazir malah mengancam alam sekitar.

Katanya, sisa makanan di tapak pelupusan sampah menghasilkan gas metana yang tinggi selain membentuk larutan resapan (leachate) sangat kotor sekali gus memberi kesan bahaya kepada sungai dan sumber air bawah tanah.

“Perkara ini membimbangkan saya dan dengan itu kami akan melancarkan Program Transformasi Minda Oktober depan untuk mengubah minda masyarakat supaya tidak membuang makanan sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata, antara pengisian program itu adalah kerjasama pengusaha kedai makanan, hotel serta industri berkaitan untuk menyumbangkan makanan lebihan mereka kepada mana-mana badan kebajikan yang memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) Dr Ainu Husna M S Suhaimi berkata, pembaziran makanan adalah satu isu kritikal dan perlu ditangani segera.

Menurutnya, berdasarkan fakta dan statistik sedia ada, polisi untuk menanganinya perlu dirangka dan dilaksana segera dengan penyertaan semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan rakyat keseluruhannya.

sumber :- http://www.hmetro.com.my/node/224974