KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan, sebaliknya perlu memikirkan kesannya sebelum menjadi mangsa penipuan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

"Pertama sekali bila ada orang tawarkan pulangan 20 peratus, mereka perlu cepat-cepat pergi buat laporan di Bank Negara atau polis. Jika melabur sebulan sudah dapat 20 peratus, mana logik, ini tipu sahaja.

Yang menjadi masalah sekarang, bila mereka dah dapat 20 peratus itu mereka diam sahaja.  Namun bila tak dapat 20 peratus itu mereka baru mula bising," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu satu skim pelaburan, 'JJ Poor to Rich' (JJPTR) yang ​​dilaporkan digodam dan mengalami kerugian RM500 juta.

Media baru-baru ini melaporkan Pengasas JJPTR , Johnson Lee, 28, dalam catatan di laman Facebook JJPTR Malaysia pada Isnin berkata beliau merancang untuk membuat bayaran balik kepada pelabur (baharu) pada pertengahan Mei.

 

Johari berkata pengguna sewajarnya perlu sentiasa berwaspada dengan setiap tawaran yang dianggap 'tidak masuk akal' itu dengan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa tentang syarikat terbabit.

Terdahulu, beliau yang juga anggota Parlimen Titiwangsa menyampaikan anugerah kepada 333 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2016 di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tsun Jin di sini, hari ini.

Katanya, Majlis Anugerah Cemerlang Yayasan Pendidikan Titiwangsa (YPT) kali ke-13 yang melibatkan 45 sekolah sekitar Parlimen Titiwangsa itu diteruskan bagi memberi suntikan semangat serta sumber motivasi dan dorongan kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencipta kecemerlangan.

"Saya melihat kejayaan anak-anak ini merupakan testimoni di atas kepelbagaian usaha yang gigih serta kerjasama erat yang terjalin antara YPT dan seluruh sekolah angkat bagi mendokong agenda pembangunan dan kecemerlangan pendidikan," katanya.

Menurutnya, inisiatif ini jelas memenuhi aspirasi yang seiring dengan dasar pendidikan terkini dalam menghasilkan lebih ramai modal insan yang berkualiti dan kompeten, yang akhirnya bertindak sebagai penggerak ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju. - Bernama

sumber :- http://www.sinarharian.com.my/nasional/jangan-mudah-terpedaya-dengan-skim-pelaburan-1.666482