KITA sering mendengar keluhan orang ramai mengenai keadaan permukaan jalan raya yang tidak rata serta berlubang di sana sini di merata tempat di negara ini. Walaupun isu ini sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak termasuk media arus perdana terutama­nya Utusan Malaysia, namun masalah ini terus menghantui pengguna jalan raya, seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian.

Lebih merumitkan keadaan apabila kerja-kerja ­meningkatkan sistem pembetungan dan saliran giat dijalankan di banyak tempat lantas menghasilkan lubang-lubang besar yang boleh mengundang malapetaka.

Kejadian seorang guru wanita hampir terbunuh apabila keretanya menjunam masuk ke dalam lubang besar di kawasan kerja pembetungan di Taman Sri Jerlok, Kajang bulan lalu seharusnya membuka mata pelbagai pihak mengenai bahaya yang dihadapi oleh pengguna jalan raya.

Dalam kejadian itu, guru berusia 25 tahun terbabit sedang melalui kawasan perumahan di situ apabila kenderaannya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam lubang besar tersebut. Difahamkan keretanya terbabas dan melanggar penghadang plastik yang digunakan untuk memisahkan lubang dan jalan raya. Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila hanya ­cedera ringan.

Pada 29 Mac, seorang lelaki maut manakala rakan sekerjanya cedera setelah van yang dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam loji kumbahan dalam proses pembinaan di Beaufort.

Jika kita masih ingat, kejadian serupa pernah berlaku pada Mei tahun lalu apabila kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tua turut terjunam ke dalam lubang sedalam 12 meter di ­Petaling Jaya. Mangsa berusia 86 tahun tersebut mengalami kecederaan parah dan ­meninggal dunia kira-kira dua minggu selepas kejadian.

Jika ditinjau di seluruh negara, terdapat banyak tapak kerja seperti ini dan ini adalah perkara serius kerana kontraktor terbabit tidak mengendahkan keselamatan orang awam.

Saya telah beberapa kali mengutarakan masalah ini namun ia ibarat mencurah air di daun keladi apabila pihak berkenaan seolah-olah tidak menghiraukannya.

Di Lembah Klang, ada di antara jalan raya dikorek bagi meningkatkan sistem perparitan dan pembetungan di bawah projek River of Life. Projek ini amat baik kerana ia bertujuan menjadikan sistem perparitan dan pembetungan lebih efisien dan dapat mengelak berlakunya banjir kilat.

Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) pernah menjelaskan tidak terlibat dalam pelantikan kontraktor untuk pembangunan infrastruktur di bawah projek ini. Syarikat tersebut turut memaklumkan bahawa kontraktor terbabit dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Memandangkan projek River of Life ini akan mengambil masa beberapa tahun lagi untuk disiapkan, agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memantau kerja-kerja yang dilaksanakan terutamanya di atas jalan raya.

Berdasarkan aduan orang awam, laporan media dan pengamatan saya sendiri, terdapat pelbagai kelemahan yang ditunjukkan oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja di kawasan terbabit.

Antara kelemahan paling ketara adalah tidak memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak kerja. Pekerja mereka pula tidak memberikan perhatian terhadap langkah-langkah keselamatan selepas lubang dikorek bagi pemasangan paip pembetungan atau untuk tujuan lain.

Mereka hanya meletakkan penghadang biasa di sekeliling kawasan kerja manakala papan tanda amaran pula amat kurang. Sesetengah kontraktor pula memilih penghadang plastik yang tidak stabil berbanding penghadang konkrit yang lebih kukuh.

Ada pula di antara mereka yang langsung tidak meletakkan papan tanda amaran dan lampu yang mencukupi bagi menerangi kawasan kerja itu di waktu malam. Sudah tentu ini akan mengundang bahaya kerana pemandu kereta atau penunggang motosikal mudah terbabas ke dalam lubang yang terdedah itu.

Sebelum ini, ramai penunggang motosikal, basikal dan pejalan kaki yang tercedera apabila mereka terjatuh ke dalam lubang atau terlanggar lekuk-lekuk di atas permukaan jalan raya yang terhasil akibat pergerakan ­kenderaan berat dan kerja-kerja yang dijalankan.

Sepatutnya kontraktor terbabit mengambil langkah pencegahan dengan memasang penghadang yang kukuh di sekeliling kawasan kerja dan lubang yang terletak di jalan utama.

Institut Jurutera Malaysia (IEM) baru-baru ini menyarankan supaya kontraktor terbabit melaksanakan Pelan Pengurusan Trafik yang melibatkan pemasangan papan tanda dan lampu amaran, membuat garisan sementara di atas jalan raya dan meletakkan penghadang di kawasan kerja yang terletak di atas jalan raya.

Pada masa sama, PBT perlu menguatkuasakan ­peraturan dengan lebih ketat agar semua kontraktor mematuhi prosedur keselamatan dan memastikan tapak kerja sentiasa kemas dan dijaga dengan baik.

Jika selama ini kita tidak mampu menyelesaikan masalah permukaan jalan tidak rata dan berlubang, jangan pula kita memburukkan keadaan dengan membiarkan kontraktor tidak bertanggungjawab melakukan kerja sesuka hati sehingga boleh menyebabkan kematian dan kecederaan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH).

Sumber :-  https://www.utusan.com.my/rencana/utama/pilih-kontraktor-8232-yang-berwibawa-1.471960
© Utusan Melayu (M) Bhd/20170421