Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam), Persatuan Insurans Am Malaysia (Piam) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam kenyataan bersama berkata, sekiranya kontrak insurans hayat atau takaful telah berkuat kuasa, terdapat peruntukan tempoh bertenang selama 15 hari dari tarikh penerimaan dokumen polisi insurans hayat atau takaful.
 
“Sepanjang tempoh ini, pemegang polisi insurans hayat dan takaful boleh mengkaji semula kontrak dan mendapatkan bayaran balik sekiranya kontrak itu tidak memenuhi keperluan mereka.
 
“Syarikat-syarikat insurans dan takaful juga diwajibkan menggunakan bahasa mudah (sejak 2011)  dan mengamalkan pendekatan pelbagai untuk menjelaskan terma-terma penting kepada pelanggan,” katanya.
 
Menurutnya, penggunaan bahasa yang mudah dapat meningkatkan ketelusan dan pendedahan kepada produk insurans serta takaful.
 
Katanya, pelanggan juga berhak mendapat maklumat yang relevan, tepat, boleh dipercayai dan setanding mengenai produk serta perkhidmatan, bagi membolehkan mereka membuat pilihan berdasarkan maklumat sesuai dengan kemampuan kewangan dan keperluan pelanggan.
 
Sinar Harian melalui laporan SOROT pada 5 Mac lalu, mendedahkan isu berkaitan insurans terutama membabitkan perkara tuntutan yang tidak dibayar.
 
Dalam laporan tersebut, SOROT menyentuh beberapa isu termasuk, ‘Bayar tapi tidak dibayar’, 'Akui wujud polisi insurans tidak jelas’, ‘Memang wujud ejen penipu’ dan ‘Apa itu insurans takaful’.
 
Sementara itu, bagi memperkasakan perlindungan kepentingan pengguna dan memupuk industri yang mengamalkan kebertanggungjawaban, integriti serta kecekapan, industri insurans dan takaful memperkenalkan kemudahan pertanyaan awam melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
 
“Kemudahan ini akan membantu pengguna memeriksa kesahihan individu yang mereka berurusan untuk memastikan ejen tersebut berdaftar dengan Liam, Piam atau MTA.
 
"Pengguna dinasihatkan supaya menghubungi Liam, Piam atau MTA sekiranya mereka berdepan  dengan ejen tidak bertauliah yang tidak dibenarkan mempromosi, memasarkan dan mengedar produk insurans serta takaful di pasaran.
Ejen insurans perlu jalani latihan 30 jam
 
Ejen-ejen insurans dan takaful dilantik wajib menjalani latihan agar dapat memberi maklumat serta khidmat nasihat yang tepat dan telus sebelum pelanggan membeli produk insurans serta takaful.