6 Julai 2020
Kita boleh hidup tanpa makanan lebih lama tetapi tanpa air kita hanya boleh hidup 3 sehingga 4 hari sahaja. Jika satu hari tiada air di rumah, pengguna akan mula bingung memikirkan cara untuk mandi, cuci pakaian, dan memasak apa lagi jika rumah kita mempunyai anak kecil dan warga emas yang sudah uzur.
Kebiasaannya sumber bekalan air ni boleh diperolehi dengan pelbagai cara sebagai contoh dengan galian air bawah tanah; ambil dan tapis dari air sungai atau laut, pam dipasang supaya boleh menarik air dari kawasan yang tinggi.
Bagaimana jika sumber bekalan air susah untuk didapati, sehingga terpaksa dicatu dan kualiti air pula tidak memenuhi piawaian minimum yang ditetapkan? Kita semua tahu biasanya perkara begini hanya berlaku di Afrika tetapi malangnya perkara ini turut berlaku di bumi Kelantan Darul Naim.
Penduduk Kota Bharu terpaksa mencatu bekalan air sehingga ada yang tidak mandi, semata-mata untuk penjimatan bekalan keperluan yang paling asas untuk manusia iaitu AIR. Situasi terbabit dialami penduduk sepanjang Ramadan lalu yang menyukarkan mereka untuk menjalani kehidupan dengan baik seperti yang telah dipetik dari akhbar Harian Metro yang bertarikh 18 Mei 2020.
Sabahagian penduduk Kampung Kota Jembal terpaksa mencari bekalan air sejauh 18 kilometer apabila bekalan air terputus sepanjang Ramadan.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bertanggungjawab dalam pengendalian pengurusan pembekalan air di seluruh negeri Kelantan. AKSB turut bertanggungjawab untuk merawat air dan mengagih bekalan air yang secukupnya kepada penduduk Kelantan supaya bekalan air yang diterima penduduk adalah berkualiti dan selamat dan kuantitinya cukup untuk penduduk menjalani kehidupan yang sempurna.
Mengikut laman web rasmi AKSB, mereka juga mengendalikan 36 buah loji pembersihan air.
Mengikut petikan akbar Berita Harian 6 Januari 2020, purata pengeluaran air di negeri ini adalah sebanyak 503 juta liter sehari untuk pelbagai kegunaan penduduk Kelantan dan hanya 50 peratus pengguna menggunakan sumber air daripada sungai dan selebihnya adalah daripada air bawah tanah.
Jumlah anggaran simpanan air bawah tanah di Malaysia adalah lebih kurang 5,000 bilion m3 dengan tambahan 65 bilion m3 hujan yang merembes ke tanah sehingga mengisi semula air bawah tanah secara semula jadi. Walaubagaimanapun, hanya sekitar 3% air tanah simpanan digunakan untuk bekalan air awam di Malaysia (Ismail Yusoff, Berita Harian, 31 Mei 2013).
Pada ketika ini, Kelantan merupakan negeri yang paling banyak menggunakan sumber air bawah tanah.
Tinjauan FAM sepanjang 3 tahun lalu, ramai rakyat Kelantan merungut mengenai masalah air bersih yang terputus malah ada sesetengah tempat pula sumber airnya berkeladak. Kawasan-kawasan yang sering menghadapi masalah isu air adalah terdiri daripada Tumpat, Kota Bharu, dan Pasir Mas.
Ramai penduduk di Kota Bharu dan Bachok membelanjakan sejumlah duit demi untuk mendapatkan air bersih secara berterusan. Penduduk di seluruh negeri di Kelantan amat terkilan dengan syarikat pengurusan air berkenaan dalam memberi kesempurnaan bekalan air untuk penggunaan harian penduduk.
Selain itu, ‘Air Boring’ merupakan salah satu cara alternatif yang banyak digunakan di negeri Kelantan. Air Boring adalah air yang dipamkan melalui proses penggerudian (boring) dari air bawah tanah ke permukaan melalui laluan paip. Sumber air bawah tanah di sesuatu kawasan itu akan diambil daripada lapisan batuan keras granit atau batuan keras lain di mana air disedut dari dalam tanah lebih 20-meter atau beratus meter dari permukaan bumi.
Air yang diekstrak dipercayai lebih berkualiti kalau dibandingkan dengan air dari permukaan sungai dan kolam. Air boring (telaga tiub) telah menjadi bekalan air yang banyak digunakan di Negeri Kelantan sebagai sumber bekalan harian.
Mengikut tinjauan FAM pada tahun 2017 untuk mendapatkan komposisi asas Air Boring/Telaga dan kami dapati kejernihan, kandungan nitrat dan klorida air bawah tanah adalah terbaik tetapi kandungan Flurioda, pH, Total Coliform (TC) dan Escherichia Coli (E-Coli) adalah tinggi yang melebihi piawaan yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
FAM difahamkan yang Kerajaan Kelantan tidak berkemampuan untuk menanggung perbelanjaan isu air kecuali jika mereka menerima bantuan kerajaan pusat sekali gus dapat menyelesaikan isu lama yang berlarutan sekian lama.
Isu air di Kelantan yang sudah berbangkit sejak 30 tahun lalu dan sepatutnya memerlukan perancangan dan peruntukan besar untuk diselesaikan dengan segera. Walaupun air bawah tanah ini dapat menyelesaikan sebahagian daripada krisis air di Kelantan tetapi ia adalah cara alternatif yang dicari oleh penduduk malah peruntukan tersebut juga ditanggung sepenuhnya oleh pengguna yang sepatutnya jaminan sumber bekalan asas ini adalah tanggungjawab pihak kerajaan negeri.
Seperti yang telah dimaklumkan semalam (5 Julai 2020) oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (MEWA), YB. Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man mengatakan Kementerian memerlukan peruntukan RM7.3 bilion untuk melaksanakan beberapa projek besar yang melibatkan penahan banjir tiga fasa di Tumpat, Rantau Panjang, dan Pasir Mas dan perbincangan cadangan untuk mengatasi rembesan air laut ke tapak pelupusan untuk mencegah pencemaran ke sistem bawah tanah dan air sungai.
Selain itu, projek pembentungan bersepadu dan projek lain yang berkaitan dengan bekalan air juga termasuk dalam peruntukan.
FAM sebagai pihak yang mewakili suara pengguna menyokong cadangan dari Menteri Alam Sekitar dan Air (MEWA), YB. Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man untuk memperbaiki krisis air di Kelantan.
FAM juga menyokong dan meminta semua pihak berkepentingan di Kelantan termasuk rakyat untuk memupuk kesedaran pemuliharaan dan kepentingan air supaya penderitaan selama 30 tahun dapat diselesaikan dalam jangka masa terdekat sehingga 2030.
Ms. Saral James Maniam
President of Forum Air Malaysia