fomca09/07/2020 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai  -- Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta pengguna menghubungi bank masing-masing secepat mungkin untuk berunding sekiranya mereka tidak dapat membuat pembayaran pinjaman, apabila berakhirya tempoh moratorium kelak.

Presiden Fomca, Datuk Dr Marimuthu Nadason juga menasihatkan pengguna untuk tidak menunggu sehingga September untuk berkomunikasi dengan pihak bank dan mereka harus menjelaskan keadaan mereka secara jujur.

"Fomca berharap agar bank-bank bersimpati. Fomca yakin bahawa Bank Negara akan mengarahkan bank-bank untuk bertindak dengan penuh bertimbang rasa. Berundinglah dengan jujur untuk mencari jalan penyelesian terbaik demi masa depan.

"Namun, jika anda beranggapan tindakan bank-bank berkenaan tidak berhati perut, usah ragu-ragu untuk membuat aduan rasmi kepada Bank Negara. Menjadi harapan kami agar Bank Negara dapat bertindak dengan pantas dan berkesan menangani aduan dan isu masalah pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Marimuthu berkata bagi pengguna yang mempunyai banyak pinjaman lebih dari satu bank, mereka boleh juga menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan nasihat kerana agensi berkenaan akan memberikan kaunseling atau membantu menyusun semula pinjaman, jika diperlukan.

Pada 25 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan moratorium enam bulan, menggubah baki kad kredit menjadi pinjaman berjangka dan penstrukturan semula pinjaman korporat, suatu inisiatif yang bernilai kira-kira RM100 bilion.

Moratorium, yang bermula 1 April 2020, diperkenalkan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana serta individu.

Marimuthu menegaskan bahawa pihak bank perlu lebih prihatin dalam membantu pengguna yang menghadapi masalah untuk mengharungi masa-masa yang sukar ketika ini.

“Kini, sememang masa yang mencabar untuk semua, terutama bagi pekerja dan pengguna. Dengan tekanan ekonomi, terdapat kemungkinan orang ramai boleh kehilangan rumah, kereta atau aset-aset lain,” katanya.

-- BERNAMA

Sumber: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1858932