Federation of Malaysians Consumers Associations17 November 2021
SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengajak rakyat Malaysia untuk mengurangkan pengambilan gula sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November setiap tahun.

Tema sambutan Hari Diabetes Sedunia pada tahun ini ialah 'Akses Kepada Penjagaan Diabetes: Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi?'
Timbalan Setiausaha Agung Fomca, Nur Asyikin Aminuddin berkata, tanggungjawab terhadap penjagaan diabetes bukan sahaja bergantung kepada pihak hospital tetapi diri sendiri.

Menurutnya, hasil tinjauan pihak Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019 mendapati satu daripada lima orang yang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes.

Lebih mengejutkan, katanya, apabila hampir separuh daripada responden tersebut tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit itu.

“Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua lapisan masyarakat kerana tidak mustahil jika kita juga penghidap penyakit diabetes dalam diam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Nur Asyikin berkata, rakyat Malaysia juga perlu sama-sama bertanggungjawab menjaga aspek-aspek keselamatan makanan di sepanjang rantaian makanan baik pihak penternak, petani, pengilang, pengimport, pengedar, peruncit, peniaga restoran, gerai makanan dan pengguna supaya kita semua boleh menikmati makanan yang sihat dan selamat.

“Makanan yang sihat dan selamat saling berkaitan dengan kesihatan diri manusia,” ujarnya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/172957/Fomca-ajak-rakyat-Malaysia-kurangkan-pengambilan-gula
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf