fomca logo05 Ogos 2021
SHAH ALAM – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menerima 253 panggilan telefon daripada pengguna untuk mendapatkan bantuan emosi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Fomca dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya menerima pelbagai kisah daripada mereka antaranya masalah kewangan yang tiada jalan keluar, tiada pekerjaan, tekanan, hubungan dan isu keluarga yang menjadi faktor utama menjadi penyumbang masalah tekanan perasaan.

“Situasi seperti ini yang menyebabkan ramai tertekan dan hilang harapan dalam tempoh krisis pandemik ini.

Jika tidak dikawal dari awal boleh membawa kepada kemurungan, malah akan berisiko untuk percubaan membunuh diri.

“Kita perlu ingat setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

Justeru itu, jangan menganggap bunuh diri sebagai jalan terakhir untuk kita menyelesaikan masalah,” kata kenyataan itu.

Fomca turut berkongsi beberapa senarai perkhidmatan sokongan untuk membantu individu atau keluarga yang ingin mendapatkan bantuan kewangan dan psikologi ketika ini.

“Jika individu yang mengalami masalah kemurungan dan tekanan emosi, mereka boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau 011-63996482, Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 dan KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mereka yang bermasalah juga boleh menghubungi Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929 dan Woman’s Aid Organisation di talian 03-3000 8858 atau SMS/WhatsApp 018-9888058.

Menurut kenyataan itu, mereka yang mengalami masalah kewangan boleh mendapatkan nasihat mengenai penstrukturan semula hutang daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Bagi keluarga yang terjejas akibat penularan Covid-19 dan memerlukan bantuan makanan, mereka boleh berhubung dengan bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri yang anda tinggal atau hubungi Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp di talian 019-2615999,” kata kenyataan itu.

Untuk pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19, waris pesakit tersebut layak untuk memohon bantuan khas sekali bayar sebanyak RM5,000 mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Masyarakat dan komuniti setempat juga diharapkan untuk lebih peka dan sensitif dengan orang sekeliling sekiranya ada yang memerlukan sebarang bantuan.

Tindakan anda ini mungkin boleh menyelamatkan orang di sekeliling kita,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/153836/BERITA/Nasional/Fomca-terima-253-panggilan-telefon-untuk-dapatkan-bantuan-emosi
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf