fomca logoKUALA LUMPUR: Orang ramai perlu membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) sekiranya ada bank komersial enggan meluluskan pemberian moratorium pinjaman.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason, berkata BNM memaklumkan pihaknya bahawa individu yang terjejas pendapatan ketika pandemik perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapatkan moratorium pinjaman.

"Dalam sesi pertemuan secara maya, baru-baru ini, BNM berkongsikan inisiatif yang diambil dan menyarankan pengguna menghubungi bank masing-masing untuk mendapatkan moratorium.

"BNM memaklumkan bank komersial menerima jumlah panggilan yang tinggi membabitkan moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman.

"FOMCA menyarankan pengguna untuk membuat laporan kepada BNM jika bank komersial enggan memberikan moratorium pinjaman.

"BNM boleh dihubungi menerusi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 (1-300-88-LINK)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Marimuthu berkata, BNM juga memaklumkan syarikat insurans menawarkan moratorium selama tiga bulan dan pengguna perlu menghubungi syarikat atau ejen insurans masing-masing untuk maklumat lanjut.

Katanya, FOMCA turut memaklumkan kepada BNM mengenai aduan pengguna, khususnya warga emas yang berdepan isu perlindungan insurans luput kerana lonjakan premium.

"BNM memaklumkan mereka sedang menyiasat mengenai 'Inflasi Perubatan' kerana industri insurans menggunakan alasan itu untuk menaikkan premium perubatan.

"FOMCA menyokong usaha ini dan berharap BNM akan memainkan peranan penting pada masa depan dalam mengawal kenaikan premium menggunakan alasan inflasi perubatan," katanya.

Dalam pada itu, Marimuthu menasihatkan pengguna yang berdepan masalah kewangan dan sukar menguruskan hutang, supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan bantuan dan nasihat kewangan percuma.

"AKPK akan memberi kaunseling atau membantu membuat penstrukturan pinjaman dengan memberi keutamaan kepada kebajikan pengguna," katanya.

Sumber: https://www.msn.com/en-my/news/berita/lapor-bnm-jika-bank-enggan-beri-moratorium/ar-AAMt0yp