fomca logoMac 15, 2021 11:03 MYT
PENGGUNA perlu terus memainkan peranan dengan mengurangkan kebergantungan kepada plastik sekali guna.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan telah mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik, termasuk mengenakan caj bagi beg plastik yang dijual di pasar raya dan kedai serbaneka.

Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason memaklumkan bagi mengelakkan pengguna membayar caj tersebut, peruncit perlu menggalakkan pengguna untuk membeli beg kitar semula dengan harga yang berpatutan.

Selain itu, katanya, penularan COVID-19 telah mewujudkan perubahan kepada trend pengguna apabila pengguna mula membawa bekas sendiri untuk bawa pulang makanan.

“Pengguna yang bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran tentang kesan penggunaan beg plastik, akan menggunakan bekas makanan yang boleh dikitar semula.

"Pekerja pula membeli makanan dan makan di pejabat mereka.

"Ramai juga yang menggunakan bekas air yang boleh digunakan semula untuk dibawa ke mana sahaja,” katanya.
Dr Marimuthu berkata plastik akan terus kekal kerana ia sudah sebati dengan kehidupan seharian.

Penggunaan plastik memang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan masyarakat tetapi bukan plastik sekali guna.


“Sudah tiba masanya kerajaan, syarikat dan pengguna bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing dalam membanteras penggunaan plastik sekali guna dari kehidupan seharian masyarakat.

Ini adalah tanggungjawab semua pihak dalam menyelamatkan bumi untuk generasi akan datang,” tambahnya.

#Fomca #COVID-19 #plastiksekaliguna #HariHak-HakPengguna #MarimuthuNadason #penggunaanbegplastik #pasarraya #KedaiSerbaneka

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/hari-hakhak-pengguna-covid19-bantu-kurangkan-penggunaan-plastik-sekali-guna-288007