fomca logoMac 15, 2021 08:00 MYT
MASALAH persekitaran berkaitan sampah plastik menjadi isu besar di Malaysia apabila ia berada di kedudukan kelapan antara 10 negara teratas di dunia yang menghadapi isu sampah tidak terurus.

Kesan penggunaan plastik akan dirasai apabila orang ramai dan penyedia perkhidmatan tidak bertanggungjawab berterusan membuang plastik secara tidak terurus.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata pelbagai kaedah perlu digunakan untuk mendidik masyarakat agar mengurangkan penggunaan plastik.

“Sekolah adalah tempat terbaik untuk mendidik anak-anak. Anak-anak generasi masa kini berani menegur ibu bapa mereka yang membuang sampah di khalayak ramai.

Selain itu, perlu diwujudkan lebih banyak pusat kitar semula supaya pengguna mempunyai akses untuk melupuskan sampah plastik atau barang yang boleh dikitar semula.

"Kerajaan perlu melibatkan peranan persatuan penduduk di tempat masing-masing.
"Ia pasti dapat mengurangkan plastik berakhir di tapak pelupusan sampah,” ujarnya.

Mengulas isu sama, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpandangan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai sampah plastik masih kurang.

Naib Presidennya, Fathima Idris berkata meskipun pelbagai kempen dilaksanakan, namun penggunaan plastik dilihat masih lagi tinggi terutamanya di pasar awam dan kedai-kedai runcit.

Bagaimanapun, katanya, kaedah mengenakan harga terhadap setiap beg plastik yang dikeluarkan dapat membantu mengurangkan penggunaan beg plastik.
Jadi apabila ada tekanan, ada satu harga diletak untuk penggunaan plastik contohnya di pasar raya besar, orang awam dan pengguna membawa beg sendiri untuk letak barang,” katanya.

Dari sudut lain, pengilang juga perlu memainkan peranan dalam pemgeluaran produk supaya dapat mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Pelbagai cara boleh digunakan contohnya seperti penggunaan semula tong minyak.

"Pengilang perlu mengambil semula bekas plastik yang dijual seperti tong minyak. Selepas pengguna menggunakan tong tersebut, ia mesti dikembalikan kepada pengilang.

"Kaedah seperti itu boleh mengurangkan pencemaran dan kurangkan penggunaan plastik.
"Pihak pengilang pun harus mengambil langkah untuk kurangkan penggunaan plastik dalam pembungkusan dan gunakan plastik yang boleh dikitar semula,” ujar lagi.

Malaysia telah membangunkan Pelan Tindakan Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030: Ke Arah Masa Hadapan Yang Lestari.
Visi Pelan Tindakan ini adalah menuju ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna supaya alam sekitar di Malaysia lebih bersih dan sihat menjelang 2030.

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan mendapati, kesedaran mengenai usaha yang dilakukan kerajaan adalah rendah.

Hanya 44 peratus rakyat Malaysia mengetahui tentang pelan tindakan itu, manakala hanya 64 peratus yang mengetahui larangan penggunaan penyedut minuman plastik dan hanya 56 peratus rakyat Malaysia yang prihatin dengan isu plastik sekali guna.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tahap-kesedaran-rendah-punca-isu-sampah-plastik-tidak-terurus-terus-meruncing-288008