Oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users)

LATAR BELAKANG

Menteri Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan kenyataan kerajaan akan mewajibkan peraturan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System: CRS) dalam setiap kereta persendirian pada tahun 2020.Sepatutnya, cadangan awal untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bayi adalah pada tahun 2018 tetapi selepas perbincangan dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), mereka dapati industri belum bersedia (dari segi ) tidak cukup bekalan dan tidak cukup stok. Kementerian juga mahu memastikan kos (kerusi bayi) lebih mampu untuk pengguna.

Pihak Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users) dimaklumkan pada 11 Januari 2019, semasa mesyuarat CRS di bangunan Kementerian Pengangkutan, MIROS telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan penyelidikan kajian kelayakan penggunaan CRS dan mengeluarkan garis panduan dan piawaian penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak. Garis panduan tersebut telah dibentangkan pada Mei 2019.Namun pada 7 Oktober 2019, ketika Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), MIROS tidak membentangkan garis panduan tersebut. Beberapa ahli jawatankuasa Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) mendapati terdapat beberapa permasalahan di dalam garis panduan tersebut tetapi tiada maklumbalas dari pihak MIROS.

Pada 23 Oktober 2019, MIROS telah membuat pelancaran garis panduan tanpa mengambil kira pandangan daripada mana-mana pihak yang berkepentingan. Oleh itu, pada 7 November 2019, Child Passenger Safety Malaysia (CPSM) sebuah badan NGO telah menjemput FOMCA dan beberapa wakil pengedar/pengimport untuk hadir mesyuarat bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Kejuruteraan Automotif.  Hasil daripada mesyuarat tersebut, JPJ menyatakan pihak mereka tidak dimaklumkan mengenai garis panduan yang dikeluarkan oleh MIROS, malah JPJ turut menyatakan perkara yang paling penting adalah kelulusan Component Type Approval (CTA) daripada JPJ sebelum membawa masuk CRS ke pasaran Malaysia.

Kemudian baru-baru ini, MIROS telah memperkenalkan kod QR di mana pengedar atau pengilang perlu mendapatkan kod QR bagi setiap model CRS. Fungsi kod QR adalah sebagai rujukan tambahan kepada label United Nations Regulation – UNR) iaitu UN R44 atau R129 yang bertujuan untuk merekodkan maklumat CRS di pasaran. Selain daripada itu, ia juga dikatakan untuk bertindak sebagai panduan kepada pengguna untuk memastikan label UNR adalah sah.Selain itu, penjualan CRS jenis mudah alih dalam talian yang langsung tidak memenuhi peraturan UN R44 dan R129 yang semakin berleluasa tanpa pengawasan pihak-pihak berkuasa dan secara jelas CRS jenis mudah alih ini tidak selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak. Berita Harian juga telah membuat kupasan mengenai isu ini pada 29 Disember 2019 (rujuk lampiran).

Secara umumnya, rakyat mengetahui MIROS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kesedaran kepentingan CRS untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya. Malah Lazada Malaysia mengambil inisiatif ini dengan melancarkan program "Car Seat Assurance", iaitu senarai khusus produk-produk CRS di LazMall yang menepati spesifikasi piawaian UN R44 dan R129. Tetapi mengapa kebanyakan CRS mudah alih terjual di platform Lazada? MIROS sepatutnya boleh menasihati pihak Lazada untuk menurunkan iklan-iklan tersebut kerana mereka telah pun membuat perjanjian MoU. Bukankah ianya telah mencalar kewibawaan perjanjian MoU tersebut? Adakah pengguna boleh percaya dengan kredibiliti MIROS yang telah pun menandatangani perjanjian MoU dengan Lazada tetapi Lazada sendiri masih menjual CRS mudah alih yang membahayakan nyawa kanak-kanak?

Contoh kerusi mudah alih yang dijual dalam talian.

FOMCA dan Standards Users telah meminta maklumbalas daripada pihak MOT dan JPJ mengenai ketelusan garis panduan yang dikeluarkan oleh MIROS pada 19 November 2019 tetapi tiada sebarang maklumbalas yang diterima. Di samping itu, FOMCA bersama CPSM turut membuat kenyataan media pada 28 November yang meminta pihak berwajib menjelaskan fungsi badan-badan yang bertanggungjawab di dalam penguatkuasaan CRS ini kerana MIROS dilihat seperti bayangan pihak berkuasa walhal MIROS cuma badan penyelidikan sahaja.

 PERKARA YANG BERBANGKIT

  1. Garis panduan yang dikeluarkan oleh MIROS tidak cukup telus. Kerana garis panduan tersebut tidak mengambil kira mana-mana pandangan pihak berkepentingan termasuk pandangan dari pihak JPJ.
  2. Kod QR dari MIROS merupakan rujukan tambahan kepada label UN R44 dan R129. Jika MIROS benar-benar berazam untuk mengekang penjualan CRS tiruan mahupun CRS yang tidak selamat, MIROS perlu bekerjasama dengan pihak JPJ untuk menambahbaik platform kelulusan CTA yang sedia ada.
  3. Tiada pihak berkuasa yang mengambil tindakan ke atas penjualan CRS mudah alih di dalam talian buat masa ini. Sehingga kini, masih terdapat iklan CRS mudah alih tersebut di dalam talian. Malah, perjanjian MoU antara MIROS dan Lazada boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan pengguna kerana Lazada turut menjual CRS mudah alih tersebut.
  4. MOT dan JPJ dilihat lebih banyak mendiamkan diri mengenai perkara ini sehinggakan pengguna telah keliru dengan bidang kuasa MIROS. Sedangkan surat kelulusan CTA daripada JPJ yang menjadi kewajipan bukan kod QR. Bukan sahaja pengguna tetapi Pengedar/Pengimport juga beranggapan MIROS merupakan badan yang berkuasa dalam isu CRS. Perkara ini jelas telah mengelirukan rakyat Malaysia malah bidang kuasa masing-masing juga dilihat kucar kacir dalam menangani isu CRS.
  5. Perlu ada badan akreditasi yang memantau MIROS dalam mengeluarkan kod QR kepada pihak Pengedar/Pengimport. Kami mendapat aduan bahawa MIROS telah mengeluarkan kod QR tanpa kelulusan CTA dari JPJ. Ianya jelas telah menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna mengenai kredibiliti kod QR tersebut. Oleh sebab itu pentingnya badan akreditasi dalam memantau penjualan CRS yang selamat di pasaran Malaysia.

CADANGAN FOMCA DAN STANDARDS USERS

  1. Garis panduan tersebut perlu disemak semula dan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan dan mengambil kira tahap status ekonomi pengguna. Bagi ahli keluarga yang ramai, ibubapa perlu memberikan keutamaan untuk anak yang paling kecil untuk diletakkan di dalam CRS.
  2. Tambahan rujukan seperti kod QR tidak diperlukan kerana pihak MIROS boleh bekerjasama dengan pihak JPJ mahupun KASTAM untuk menambahbaik prosedur kelulusan CTA untuk semua pengimport/pengedar sebelum CRS dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Tidak perlu kod QR sebagai tambahan birokrasi pada prosedur kelulusan CTA. Jika betul untuk membendung penjualan CRS yang tidak selamat, pihak berkuasa perlu mengawal dengan ketat di setiap pintu masuk Malaysia termasuk CRS yang dibeli dalam talian. FOMCA mencadangkan pihak berwajib mengeluarkan senarai nama model CRS yang mendapat kelulusan CTA di laman sesawang masing-masing untuk memudahkan pengguna untuk membuat rujukan sebelum membeli CRS.
  3. SEMUA platform dalam talian di Malaysia perlu menandatangani perjanjian MoU bersama pihak berwajib untuk memastikan semua CRS dalam talian mendapat kelulusan CTA daripada JPJ. Perlu ada garis panduan juga kepada pihak yang mengendalikan penjualan CRS dalam talian untuk mendapatkan kelulusan CTA daripada JPJ sebelum CRS masuk ke Malaysia. Perjanjian MoU perlulah telus bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran kepentingan CRS tetapi ianya perlu menyeluruh termasuk piawai keselamatan CRS itu sendiri.
  4. Pihak MOT perlu menetapkan setiap fungsi badan yang terlibat di dalam penguatkuasaan CRS ini dengan lebih jelas supaya setiap badan faham dan boleh menjalankan tugas masing-masing mengikut fungsi yang telah ditetapkan selain untuk memastikan tiada pertindihan punca kuasa antara satu sama lain.
  5. MIROS bukan badan yang diiktiraf untuk mengesahkan CRS yang terjual di pasaran Malaysia. JPJ merupakan Approval Authority untuk isu pensijilan CRS yang dilantik oleh United Nation. Pengenalan kod QR ini menyebabkan pertindihan penandaan pula untuk sebuah CRS standard UN yang masuk ke pasaran Malaysia. Standards Malaysia perlu campur tangan untuk membantu menyediakan perkhidmatan standardisasi yang lebih telus untuk mengesahkan CRS yang selamat masuk ke pasaran Malaysia.

PERBEZAAN KELULUSAN CTA DAN QR KOD

 

KELULUSAN CTA

 

QR KOD

Percuma – Pengedar/pengimport tidak perlu menanggung kos perbelanjaan

Berbayar – Pengedar/pengimport perlu menanggung kos perbelanjaan

JPJ sebagai Approval Authority bagi UN di Malaysia

KPDNHEP boleh mengiktiraf kod QR di bawah Perintah Penandaan KPDNHEP tetapi KPDNHEP perlu mengisytiharkan dengan pihak WTO mengenai kod QR kerana dikira sebagai TRADE BARRIER yang bertindih dengan penandaan UN R44 dan R129

Kelulusan CTA sudah memadai untuk mengimport masuk CRS yang mematuhi UN R44 dan R129 ke pasaran Malaysia

Kod QR hanya rujukan tambahan kepada label UN R44 dan R129

 

KESIMPULAN:

FOMCA dan Standards Users tidak meyokong dengan penambahan rujukan kod QR yang dikatakan untuk membantu mengekang CRS tiruan kerana ianya dilihat sebagai tambahan birokrasi pada prosedur kelulusan CTA. Akhir kata, semua agensi perlu bersatu padu dalam mempermudahkan urusan penguatkuasaan CRS demi keselamatan anak-anak kita yang bakal menerajui negara!