KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini menafikan dakwaan kononnya terdapat jualan minyak masak kitar semula di pasaran, seperti yang viral baru-baru ini.   
 
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata siasatan daripada pihak kementerian mendapati, tiada sebarang minyak masak kitar semula dijual di pasaran seperti yang dihebohkan.   
 
Katanya, isu terbabit sebelum ini pernah menjadi viral dalam media sosial terutama Facebook, namun sehingga kini, pihaknya tidak menemui sebarang bukti.   
 
"Isu minyak masak kitar semula terdiri daripada pelbagai jenama pernah menjadi hangat dulu, terutama ketika berlakunya isu kekurangan minyak masak di negara ini.   
 
"Kami dah siasat dan setakat ini tidak menemui sebarang minyak masak kitar semula yang dijual di pasaran. Kami juga tidak menerima sebarang laporan atau aduan daripada orang ramai," katanya ketika dihubungi BH, hari ini. 
 
Baru-baru ini, beberapa pengguna Facebook memuat naik gambar serta status menerusi laman sosial itu mendakwa terdapat minyak masak jenama 'Buah Sawit' yang diproses semula menggunakan minyak masak dari restoran dan kedai-kedai makan sebelum dijual di pasaran.   
 
Bagaimanapun, tinjauan BH di beberapa pasar raya dan kedai runcit sekitar Lembah Klang mendapati minyak masak berjenama 'Buah Sawit' tiada dijual.   
 
Mohd Roslan berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung minyak masak kitar semula diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.   
 
"Sekiranya ada maklumat, beritahu kami di mana lokasi (premis yang menjual) supaya kami boleh mengambil tindakan.   "Perkara sebegini tidak akan selesai sekiranya diviralkan dalam Facebook sahaja," kata beliau.
 
 
 
Sumber : 31 Mei 2017 Berita Harian 
http://www.bharian.com.my/node/288343