PUTRAJAYA: Analisis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mendapati setiap hari, 3,000 tan sampah dibuang dan 80 peratus daripadanya adalah sisa makanan buangan dari rumah. 
 
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata daripada 80 peratus itu, 40 peratus adalah makanan yang masih elok dan boleh dimakan. 
 
Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah berkenaan mungkin meningkat pada bulan Ramadan. "Kajian yang kita jalankan ini pada hari biasa, bukannya pada Ramadan, namun pembaziran yang dilakukan ini sangat ketara.
 
 
"Diharapkan dengan adanya kempen MYSaveFood@Ramadan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Indsutri Asas Tani ini, akan menyedarkan masyarakat supaya tidak membazir ketika membeli makanan," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen MYSaveFood@Ramadan, di Bazar Ramadan, Presint 3, di sini hari ini. Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 
 
Sementara itu, Shabery berkata pihaknya mahu jadikan Wilayah Persekutuan sebagai model terbaik bagi membangunkan kesedaran dalam kalangan penjawat awam supaya tidak membazir makanan. 
 
"Dalam Ramadan ini, sepatutnya kita kena berjimat, namun kebanyakan daripada kita terpengaruh dengan nafsu sehingga membeli makanan dengan banyak. 
 
"Saya tidak menghalang masyarakat untuk membeli kerana ia bagus untuk penjaja tetapi perlulah membuat perancangan iaitu beli dalam jumlah yang sedikit supaya makanan tidak dibazirkan. 
 
"Difahamkan, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut bersama dalam kempen ini, NGO ini akan bekerjasama dengan penjaja untuk mengagihkan makanan yang tidak habis dijual kepada golongan yang memerlukan," katanya.
 
 
 
Sumber : 31 Mei 2017 Berita Harian 
http://www.bharian.com.my/node/288375