Pemakaian kanta lekap sudah menjadi satu keperluan kepada pengguna pada masa ini. Bagi mereka yang memakainya, kanta lekap merupakan satu fesyen terkini untuk kelihatan lebih cantik dan berkeyakinan. Namun, adakah pengguna sedar tentang kesan penggunaannya?
 
Kanta lekap sememangnya akan memberikan keselesaan kepada pemakainya kerana mereka tidak perlu lagi menggunakan kaca mata. Pemakai kanta lekap juga lebih yakin untuk mengenakan sebarang hijab tanpa kerisauan tentang kesesuaian hijab tersebut dengan kaca mata.
 
Namun sesungguhnya pepatah ‘beauty is pain’ adalah sangat bersesuaian dengan penggunaan kanta lekap. Hal ini disebabkan oleh pemakaian kanta lekap dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan bebola mata hitam si pemakainya mengalami kekurangan oksigen yang diperlukan setiap hari. 
 
Antara kes yang pernah terjadi kepada salah seorang pemakai kanta lekap yang tegar ialah beliau akan memakainya dari waktu pagi hingga waktu petang setiap hari. Apa yang berlaku kepadanya selepas itu amat mengejutkan apabila doktor pakar telah mengesahkan bahawa salur darah di bahagian mata telah masuk ke dalam bebola mata hitam kirinya. Sekiranya, tidak dirawat ia boleh mengakibatkan kebutaan. 
 
Dasawarsa ini, kebanyakan pengguna kanta lekap hanya memakainya untuk mengikuti trend terkini dan ingin kelihatan cantik seperti kanta lekap hiasan yang berwarna, bercorak seperti “Halloween contacts lens”. Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (USFDA) telah memberi amaran kepada pengguna kanta lekap hiasan supaya berhati-hati dengan kesan sampingan berbahaya yang boleh menghantui mereka. 
 
AkhbarDailymail United Kingdom telah melaporkan tentang seorang gadis bernama Laura Butler yang terkena jangkitan teruk pada mata, parut pada kornea beliau dan penglihatannya rosak selepas memakai kanta hiasan dalam tempoh sepuluh jam. Doktor yang merawatnya menyatakan kerosakan pada mata beliau merupakan kerosakan kekal. Menurut USFDA, kanta lekap yang tidak dibenarkan memberi kesan seperti ulser kornea, lelasan kornea, masalah penglihatan dan kebutaan.
 
Di samping itu, pemakaian kanta lekap boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada mata sekiranya kanta lekap tersebut tidak dijaga dengan baik. Terdapat kes di Malaysia yang menyebabkan pemakai kanta lekap mengalami masalah kornea terkoyak. Menurut beliau, pada waktu awalnya dia merasakan yang matanya sakit seperti ditusuk-tusuk dengan suatu benda yang tajam. Apabila membuat rawatan, doktor telah mengesahkan bahawa kornea matanya luka. 
 
Namun begitu, beliau bernasib baik kerana luka tersebut tidak teruk dan menjadi ulser. Ulser pada mata boleh menyebabkan kebutaan sekiranya tidak dirawat dengan secepat mungkin. 
 
Sesetengah orang dalam menjalankan rutin harian mereka. Pemakaian kanta lekap juga sememangnya menjadikan seseorang itu lebih berkeyakinan dan lebih berketrampilan. Walau bagaimanapun, pemakainya perlu mengetahui kesan baik dan buruknya.
Sebagai pengguna yang bijak, anda perlu mengambil iktibar dengan kes-kes yang pernah berlaku kepada pengguna kanta lekap yang lain. 
 
Sekiranya anda ingin mengenakan kanta lekap, dapatkan konsultasi doktor atau pakar optometri terlebih dahulu. Sebelum membuat pembelian, pastikan penjual kanta lekap tersebut adalah penjual yang telah mendapat lesen daripada pihak berkuasa. Yang paling utama sekali, pastikan kanta lekap tersebut sesuai dengan mata anda. 
 
Anda harus ingat bahawa, kanta lekap tidak boleh dikongsi dengan orang lain bagi memastikan kebersihan kanta lekap tersebut. Akhir sekali, pastikan kebersihan kanta lekap tersebut sebelum menggunakannya dan patuhi syarat penjagaan kanta lekap tersebut. 
 
 
Putri Nur Ain bt Abdul Samad
Eksekutif Kajian
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna. (CRRC)