Keinginan untuk hidup berpasangan merupakan lumrah bagi setiap insan. Kesunyian dan kesepian sering mendorong golongan wanita dan lelaki bujang di luar sana untuk mengambil langkah mudah dan drastik dalam perhubungan. 

 

Tambahan pula, aplikasi mudah alih yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan juga memudahkan mereka untuk mencari pasangan hidup. Namun, terdapat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan terhadap mereka yang terdesak ingin mencari pasangan hidup.  

 

Di Malaysia, kes ‘Love scam’ semakin menjadi-jadi dan kegiatan ini semakin licik dilakukan, yang kebanyakannya dilakukan oleh warga asing. Ramai rakyat Malaysia yang telah menjadi mangsa love scam ini. 

 

 

Jika sebelum ini, mangsa love scam kebiasaannya adalah kaum wanita yang bujang dan bekerjaya, namun kini, kaum lelaki juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa love scam. Baru-baru ini berlaku satu kes penipuan di Kuantan yang melibatkan seorang lelaki warga Liberia telah memperdayakan seorang lelaki berusia 60-an dengan menggunakan identiti sebagai ‘Minah Salleh”. 

 

Love scam tidak mengenal usia dan jantina, lelaki mahupun wanita tidak terlepas daripada menjadi mangsa love scam. 

Jenayah love scam ini dapat diatasi sekiranya masyarakat sentiasa berwaspada ketika berkenalan dengan seseorang secara atas talian (online). Bagaimanakah untuk mengenal pasti love scam?

 

1. Love scam kebiasaanya bermula dengan sesi perkenalan laman media sosial seperti Facebook, Twitter and laman mencari jodoh seperti dating.com, match.com dan OkCupid untuk mencari mangsa penipuannya. 

 

2. Mereka juga lebih memilih untuk berkomunikasi dengan mangsa melalui SMS atau aplikasi mudah alih seperti Whatsapp dan wechat bagi mengelakkan identiti mereka terdedah kepada orang ramai. 

 

3. Mereka juga akan bertanya banyak soalan peribadi kepada mangsa, termasuk pendapatan bulanan mangsa. Walau bagaimanapun, mereka akan mengelak daripada menjawab soalan-soalan peribadi daripada mangsa, contohnya tempat tinggal dan tempat kerja mereka. 

 

4. Kebanyakan penipu akan mengatakan yang mereka bekerja sendiri, bekerja dengan syarikat antarabangsa atau bekerja di pelantar. Mereka juga akan bermegah tentang pendapatan bulanan mereka untuk memancing mangsa.   

 

5. Kebanyakan penipu love scam tidak akan meletakkan gambar mereka sendiri. Mereka akan meletak gambar secara rambang yang boleh didapati dalam internet. Gambar mereka biasanya terlampau sempurna dan hidup dalam kemewahan. 

 

6. Bagi memerangkap mangsa, penipu akan menyatakan yang mereka sudah jatuh hati kepada mangsa. Mereka akan menabur janji-janji manis, termasuk berjanji untuk berkahwin dengan mangsa. Biasanya, mereka tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyatakan cinta mereka kepada mangsa.

 

7. Selepas memperoleh keyakinan dan kepercayaan daripada mangsa, penipu akan mengatakan yang mereka sedang menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan mangsa dari segi kewangan. Alasan yang selalu diberikan oleh mereka ialah syarikatnya mengalami masalah kewangan, memerlukan wang untuk melakukan pembedahan kecemasan, barang yang dipos kepada mangsa ditahan oleh pihak imigresen dan pelbagai alasan yang tidak masuk akal. 

 

Oleh itu, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa jenayah percintaan, maka orang ramai hendaklah bersikap berhati-hati. Jangan mendedahkan maklumat peribadi seperti alamat rumah, nama penuh dan nombor kad pengenalan kepada orang yang tidak dikenali. Yang paling penting, jangan sesekali mendedahkan maklumat kewangan, termasuk pendapatan bulanan. 

 

 

Nur Imani Abdullah

Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA)