Keghairahan segelintir masyarakat negara ini berbelanja sakan menyebabkan mereka terpaksa merancang semula perbelanjaan harian termasuk mengurangkan penggunaan bahan api kenderaan masing-masing.
Mereka sanggup membelanjakan ratusan ringgit memasang alat jimat minyak bagi mengurangkan kos perbelanjaan.
Bagaimanapun, tidak semua alat itu berfungsi dengan baik kerana ada yang hanya memberikan prestasi minimum.
Asasnya, semakin kuat pedal minyak ditekan, semakin pantas enjin bekerja menyebabkan kereta bergerak laju, sekaligus penggunaan minyak bertambah. Kini, banyak pengeluar menggunakan pemancit bahan api, bukan nya karburator.
Pemancit bahan api kini dikawal komputer bagi memastikan penggunaan minyak paling minimum tapi memberikan prestasi tertinggi.
Bagaimanapun, cara terbaik dan mudah menjimatkan minyak ialah pemanduan yang lancar. Ramai pemandu sengaja tidak memperlahankan kenderaan walaupun menyedari mereka perlu berbuat demikian apabila ada sesuatu menghalang di depan.
Tindakan memperlahankan atau memberhentikan kereta secara tiba-tiba menyebabkan penggunaan minyak meningkat kerana tidak seimbang dengan kelajuan kenderaan.
Jika memandu terlalu laju di lebuh raya dan ingin memperlahankan kenderaan, jangan tekan brek sebaliknya lepaskan pedal minyak hingga mencapai kelajuan yang dikehendaki serta tutup semua tingkap bagi mengurangkan rintangan angin.
Matikan enjin apabila berhenti walaupun beberapa minit terutama ketika singgah di kedai atau menunggu seseorang. Matikan enjin ketika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Enjin yang pegun boleh menggunakan sehingga satu liter petrol setiap 10 minit.
Pandu terus sebaik enjin dihidupkan tapi pada kelajuan rendah kerana langkah itu membolehkan enjin lebih cepat panas dan pergerakan minyak enjin lebih baik. Penalaan enjin yang sempurna dapat mengurangkan penggunaan petrol dan membantu enjin mudah dihidupkan. Bagi gear manual, amalkan menggunakan gear yang sesuai dengan kelajuan enjin.
Ini kerana memandu pada kelajuan 80 kilometer sejam (km/j) dengan gear kelima (putaran enjin 2,500 pusingan seminit) menggunakan kurang petrol berbanding 40 km/j pada gear ketiga (putaran enjin juga 2,500 pusingan seminit).
Jangan cuba memecut apabila mendapati kelajuan semakin menurun ketika mendaki bukit. Walaupun menuruni bukit pada gear neutral menjimatkan minyak, ia boleh menyebabkan kereta terlalu laju serta brek menjadi panas.
Tabiat mengisi minyak pada waktu pagi juga menjimatkan petrol kerana tahap kepekatan petrol dalam tangki minyak stesen petrol meningkat.
Jumlah kuantiti liter adalah sama tapi jumlah jirim petrol bertambah pada waktu pagi menyebabkan kandungan tenaga dalam petrol bertambah.
Selain itu, tekanan tayar yang rendah juga mempengaruhi penggunaan minyak kerana ia mewujudkan daya seretan lebih besar menyebabkan enjin terpaksa membakar lebih banyak petrol bagi menghasilkan tenaga untuk menggerakkan kereta.
Sumber : Berita Harian – 31 Oktober 2016 (Isnin)