Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memberi penjelasan kepada rakyat bagaimana kaedah atau mekanisme penetapan harga baharu minyak masak susulan penstrukturan semula harga bahan asas.

Rakyat perlu tahu apa cara yang digunakan oleh pengilang atau pembekal dalam menentukan harga baharu minyak masak kecuali pek satu kilogram. Penjelasan juga perlu bagi menunjukkan kementerian itu sudah mengambil langkah sewajarnya sebelum mengumumkan penstrukturan semula berkenaan.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata KPDNKK tidak sepatutnya memberi alasan harga ditentukan oleh pengilang atau pembekal, sedangkan perbezaan harga amat ketara dan begitu membebankan pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Seperti Tiada Perancangan

“Saya lihat KPDNKK seperti tiada perancangan sebelum mengumumkan penstrukturan semula harga minyak masak. Janganlah beri jawapan ia ditentukan oleh pasaran atau pengilang kerana pengguna mahu tahu apa mekanisme yang digunakan dalam menetapkan harga baharu.

“Satu mekanisme perlu dicari bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan penstrukturan semula harga bahan asas ini. Apa yag kita nampak sekarang, rasionalisasi subsidi bukan menyebabkan pengilang bersaing menawarkan harga lebih rendah, tetapi harga lebih tinggi berasaskan jenama masing-masing,” katanya.

Prsiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata semua pihak berkaitan seharusnya berbincang terlebih dahulu sebelum penstrukturan semula harga minyak masak dilaksanakan kerana ia bahan keperluan harian yang penting dan sepatutnya tidak membebankan pengguna.

“Apa yang saya lihat situasi selepas harga baharu seperti tidak lancar kerana tiada perancangan terperinci bagi memastikan pengguna tidak terbeban, seperti tiada dasar khusus untuk memastikan langkah ini tidak menjejaskan pengguna,” katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusuf Abdul Rahman pula menasihatkan pengguna menggunakan hak mereka dengan memilih minyak masak pada harga rendah, bukan melihat kepada jenama semata-mata.

Sumber : Berita Harian – 3 November 2016 (Khamis)