SHAH ALAM, 24 MAC: Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disarankan menyediakan perkhidmatan bas percuma dan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) khususnya kawasan-kawasan bandar antaranya Shah Alam, Subang Jaya, Kajang dan Klang.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata setiap tahun, kawasan Lembah Klang mengalami peningkatan penduduk seterusnya akan menyebabkan peningkatkan pengangkutan.
“Kita boleh mengambil contoh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk Petaling Jaya untuk memudahkan penduduk.
“Diharap pendekatan proaktif ini akan diteruskan dan diambil contoh oleh PBT lain,” katanya selepas merasmikan Seminar dan Bengkel ‘Urban Transportation Towards Sustainable City’, di Dewan Banquet, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Teng berkata perkhidmatan bas percuma khususnya di kawasan bandar perlu disediakan sebanyak 12 hingga 15 buah bas.
“Namun ia bergantung kepada setiap perbelanjaan PBT yang mampu. Di MBPJ, disediakan sebanyak 10 buah untuk perkhidmatan itu,” katanya.
Beliau berkata bagi penduduk negeri, pembangunan perbandaraan yang pesat seiring dengan pertumbuhan penduduk tinggi menuntut kepada pembangunan sistem pengangkutan yang holistik sistematik dan jaringan pengangkutan yang pelbagai.

SELANGORKINI