SHAH ALAM - Kementerian Kewangan semalam mengumumkan lebih banyak barang dan perkhidmatan tidak akan dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula, 1 April ini.
Menurut kementerian itu, yuran penyelenggaraan dan dana terikat yang dikecualikan GST ke atas rumah kos rendah dan kos sederhana rendah diperluaskan meliputi semua jenis bangunan kediaman dipegang di bawah hak milik strata.
Selain itu, perkhidmatan pendidikan yang dikecualikan GST diperluaskan meliputi pendidikan kemahiran yang disediakan penyedia latihan kemahiran yang menjalankan program diluluskan dan ditauliahkan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.
Sementara itu, GST pada kadar sifar ke atas buku tertentu seperti buku latihan, kamus, buku teks, buku rujukan, kitab agama, surat khabar termasuk versi elektronik, buku bergambar, buku lukisan dan buku berwarna kanak-kanak yang diumumkan sebelum ini diperluaskan kepada semua jenis bahan bacaan.
Namun, majalah dan buku-buku lain yang bukan merupakan bahan bacaan akan dikenakan GST pada kadar enam peratus.
"Bilangan ubat yang dikenakan GST pada kadar sifar di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama ubat.
"Ini untuk memastikan ubat-ubatan di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional dapat meliputi semua dos dan kaedah pengambilan. Kementerian Kewangan juga akan mengkaji cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperluaskan lagi jenis ubat bagi penyakit tertentu untuk dikenakan GST pada kadar sifar," menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan, semalam.
Selain itu, kementerian itu turut menjelaskan perkhidmatan jagaan kesihatan didaftarkan atau dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dikecualikan GST.
"Ini bermaksud hospital atau klinik tidak akan mengenakan GST ke atas perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada pesakit. Walau bagaimanapun, GST pada kadar enam peratus akan dikenakan ke atas caj rawatan atau perkhidmatan rundingan yang diberikan doktor bebas yang tidak berdaftar sebagai kemudahan jagaan kesihatan," katanya.
Sementara itu, sebanyak 120 jenis peralatan perubatan yang dibeli oleh hospital, klinik atau mana-mana kemudahan jagaan kesihatan swasta diberi pelepasan GST.
Kementerian Kewangan juga menerangkan, susu formula bayi yang dikenakan GST pada kadar sifar adalah bagi kategori umur 0 sehingga 36 bulan serta meliputi semua jenis perisa manakala lain-lain susu di luar peringkat umur tersebut dikenakan GST pada kadar enam peratus.
"Semua jenis beras termasuk beras pulut, basmathi dan beras perang dikenakan GST pada kadar sifar dan gula yang dikenakan GST pada kadar sifar meliputi semua jenis gula seperti gula castor, kasar dan halus tanpa mengambil kira bentuk dan kaedah pembungkusan," katanya.
Mengenai GST ke atas badan bukan kerajaan dan institusi keagamaan pula, Kementerian Kewangan menjelaskan institusi yang terlibat sepenuhnya dalam aktiviti kebajikan atau keagamaan tidak tertakluk kepada GST.
"Sekiranya terdapat sebarang aktiviti bersifat perniagaan dijalankan oleh organisasi tersebut dan nilai bekalan bercukai yang dibuat adalah melebihi nilai ambang (threshold) yang ditetapkan iaitu RM500,000 setahun maka mereka perlu berdaftar di bawah GST dan mengenakan GST ke atas bekalan yang dibuat," menurut kenyataan itu.
SINAR HARIAN