06 Julai 2022
KIRA-KIRA 45 peratus daripada 10,220 pengusaha kantin seluruh negara ‘gulung tikar’ susulan pandemik Covid-19, selain tidak dapat menampung kenaikan harga barangan dan ada mahasiswa terpaksa menahan lapar setiap malam disebabkan kos sara hidup yang tinggi.

Mereka adalah antara mangsa akibat kenaikan harga barangan harian pada hari ini.

Tidak dinafikan, isu kenaikan harga barangan keperluan sejak kebelakangan ini dilihat seperti tiada kesudahannya apabila ia mula melibatkan murid-murid sekolah sama ada di sekolah rendah dan menengah, termasuk jugalah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana pengusaha kantin sekolah dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT awam seluruh negara turut menaikkan harga makanan yang dijual dengan alasan dibebani kenaikan harga barangan mentah serta kos sewa kedai.

Akibatnya, harga makanan yang dahulunya dijual RM1 (di kantin sekolah) kini menjadi RM2 dan ia turut menyebabkan penuntut IPT terpaksa ‘mengikat perut’. Mereka hanya makan sekali sehari dalam usaha untuk berjimat cermat.

Sebelum ini pelbagai bantuan dan program telah dilaksanakan seperti Food Bank Malaysia yang disasarkan untuk masyarakat dan penuntut IPT kurang berkemampuan tetapi persoalannya sampai bila?

Terbaharu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan mulai bulan ini akan memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT.

Langkah tersebut dilihat dapat membolehkan tanggungan kos sewa itu diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada penuntut.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/210154/Terpaksa-&%23039;ikat-perut&%23039;-sebab-makanan-mahal