Ikan sardin yang dijual pada harga RM14kg di Pasar Chow Kit.  - Foto NSTPJulai 5, 2022 @ 2:08pm
KUALA LUMPUR: Orang ramai terkejut apabila melihat ikan sardin dijual pada harga RM14 sekilogram (kg), manakala kembung pula mencecah RM19kg.

Pembeli yang hanya mahu dikenali Fida, 31, ketika ditemui di Pasar Chow Kit di sini, berkata dia terkejut dengan harga itu kerana pada minggu lalu ketika datang membeli di pasar berkenaan harganya masih murah iaitu RM10kg bagi ikan sardin dan RM11kg bagi kembung.

"Sebelum ini ikan sardin paling mahal pernah saya beli sekitar RM12kg hingga RM13kg, tetapi sekarang harganya naik lagi.

"Minggu lalu saya beli ikan kembung pada harga RM11kg, tetapi hari ini harga naik kepada RM19kg dan saiz ikan juga lebih kecil daripada minggu lalu.

"Saya memang biasa beli di pasar ini daripada pasar di Ampang yang lebih mahal. Sekiranya ikan di sini RM18kg, di sana (Ampang) mencecah sehingga RM20kg," katanya ketika ditemui.

Beliau yang bekerja di sebuah restoran di Ampang berkata, terpaksa membeli juga ikan dan ayam walaupun harga tinggi ditetapkan peniaga.

Tinjauan BH mendapati, rata-rata peniaga ikan tidak menjual ikan segar, selain tidak mempunyai banyak stok bekalan ikan kerana sukar diperoleh pada musim sekarang.

Tinjauan ayam segar pula mendapati, peniaga masih menjual ayam pada harga RM 9.40kg yang ditetapkan oleh kerajaan.

Bagi bekalan minyak masak pula, minyak masak peket didapati kehabisan stok, selain minyak masak botol yang turut mengalami kekurangan bekalan.

Bagaimanapun, peniaga masih menetapkan harga lama iaitu RM6.70kg sehingga RM29.70kg bagi isi padu botol satu sehingga lima kg.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/973217/terkejut-harga-ikan-sardin-rm14-kg-kembung-rm19-kg