Harga petrol RON95 ketika ini masih di bawah RM2.08 seliter, harga ditetapkan PSP. - Foto hiasan NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria Rabu, 29 Julai 2020 | 11:58am
KUALA LUMPUR: Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar bagi menggantikan mekanisme subsidi petrol ketika ini tidak akan diteruskan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama kementeriannya (KPDNHEP) dengan Kementerian Kewangan (MoF), pada 9 Julai lalu.

Dengan itu, MoF akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi memuktamadkan pendirian kerajaan mengenai pelaksanaan PSP.

"Sebab tidak melaksanakan (PSP) adalah yang pertama, bagi mengelak salah faham dalam kalangan penduduk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana hanya penduduk Semenanjung sahaja terbabit PSP.

"Ia (juga) bagi mengelak jurang harga petrol yang tinggi antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Kelompok M40 hanya akan menikmati pemotongan harga semasa mengisi petrol di stesen minyak kerana mempunyai kad subsidi dan ini boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat berkenaan ketelusan pemberian subsidi ini," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) sama ada kerajaan mempunyai perancangan baharu mengenai PSP, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Shaharizukirnain dalam soalan asalnya mahu tahu mengenai tarikh baharu pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) setelah ia ditangguhkan oleh Kabinet sebelum ini.

Pada 18 Disember tahun lalu, Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan PSP hingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kemudian. Ia diputuskan demikian bagi memberi ruang penyelesaian terhadap dua isu utama.

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan yang ditadbir PH ketika itu mengumumkan pelaksanaan PSP dengan peruntukan RM2.4 bilion dalam Belanjawan 2020, berkuat kuasa November 2019. PSP disasarkan untuk memanfaatkan lapan juta pengguna daripada kalangan B40 dan M40.

Dilaporkan, jumlah penggunaan petrol RON95 negara sekitar 14.4 bilion liter setahun, sekali gus bermakna jumlah subsidi ditanggung kerajaan untuk RON95 ialah sebanyak RM4.32 bilion setahun.

Harga siling RON95 yang ditetapkan oleh MoF adalah pada paras RM2.08 seliter.

Hari ini, harga petrol RON95 ialah RM1.68 seliter berbanding RM1.72 seliter, minggu lalu.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ma'mun Sulaiman (WARISAN-Kalabakan), Rosol berkata, kerajaan akan meneliti kaedah bersesuaian untuk membantu golongan muda yang terbabit dalam perkhidmatan e-hailing.

"Oleh kerana kerajaan tak bercadang meneruskan PSP, mungkin kita akan fikir cara lain untuk anak muda yang terbabit dengan e-hailing sebagai yang diminta Kalabakan (Ma'mun).

"Saya yakin kerajaan prihatin ini akan cuba sebaiknya menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/715958/program-subsidi-petrol-bersasar-tidak-diteruskan