Kempen Kesedaran Alam Sekitar, Keselamatan & kesihatan Pekerja ...Rabu, 29 Julai 2020 | 11:00am
KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar sedang merangka peraturan baharu mengenai parameter bahan tercemar terhadap aktiviti yang tidak tertakluk di bawah Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi membolehkan tindakan lebih meluas diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata peraturan baharu itu dirangka berikutan bidang kuasa pelaksanaan tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) selama ini terhad kepada aktiviti yang tertakluk pada Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 sahaja termasuk aktiviti pencemaran perladangan.

"Selaras dengan usaha kerajaan bagi memperkasakan penguatkuasaan akta di negara ini, kementerian sedang merangka peraturan baharu mengenai parameter bahan tercemar terhadap aktiviti yang tidak tertakluk di bawah EIA.

"Kementerian juga memperkuatkan agensi berkaitan penguatkuasaan bagi mengambil tindakan terhadap pencemaran alam sekitar disebabkan oleh kilang termasuk daripada aspek hasil sisa yang dialirkan ke sungai," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang ingin tahu usaha kementerian meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti perladangan bagi memastikan alam sekitar terpelihara daripada pencemaran.

Pada masa sama, Ahmad Masrizal berkata, kementerian memandang serius aktiviti pembakaran terbuka antaranya di kawasan ladang dan tapak pelupusan di negara ini dengan terus melaksanakan pemantauan menggunakan dron pada ketika negara sedang berdepan wabak COVID-19.

Beliau berkata, bagi tahun ini sehingga Julai, sebanyak 74 kes pembakaran terbuka di ladang sawit dan 19 di ladang getah di seluruh negara diambil tindakan mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Bagi tahun lalu pula, sebanyak 178 kes kebakaran terbuka di ladang sawit dan 29 di ladang getah turut diambil tindakan mengikut akta sama," katanya.

Beliau berkata, bagi aktiviti pencemaran perladangan disebabkan oleh kilang pula, JAS sudah menjalankan 14 penguatkuasaan berkala di tapak projek yang mendapat kelulusan EIA sepanjang tahun ini sehingga Jun dan mengambil tindakan terhadap sebuah projek, manakala dua lagi diberikan notis.

Katanya, untuk tahun lalu sebanyak 19 penguatkuasaan dilaksanakan dengan dua projek dikenakan tindakan mahkamah dan lapan lagi diberikan notis.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/715931/peraturan-baharu-berkaitan-alam-sekitar