JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor berkata kantin Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, diarahkan tutup selama dua minggu bermula semalam hingga 28 Februari.Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz, berkata arahan penutupan itu berikutan pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mendapati pengusaha kantin gagal mematuhi beberapa piawaian di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.Katanya, pemeriksaan itu adalah tindakan proaktif susulan aduan gambar tular yang memaparkan seekor tikus di tempat letak makanan yang mendakwa berlaku di HSI, meskipun pihaknya masih tidak dapat memastikan kesahihan lokasi kantin dan masa gambar berkenaan diambil.

“Arahan penutupan kantin sudah dikeluarkan bagi membolehkan kerja pembersihan secara menyeluruh dijalankan dan hanya akan dibenarkan dibuka semula apabila tahap kebersihan dapat dicapai dengan sempurna serta mematuhi syarat yang ditetapkan.“JKN Johor juga ingin memaklumkan bahawa kerja kawalan serangga dan haiwan perosak adalah satu daripada skop kerja penyelenggaraan Planned Preventive Maintenance (PPM) dalam program penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.Dr Selahuddeen berkata, syarikat konsesi yang dilantik akan menjalankan kawalan tikus menerusi aktiviti pemeriksaan rutin dan PPM mengikut frekuensi yang ditetapkan iaitu pada setiap hari dan setiap bulan menggunakan pelbagai kaedah seperti penggunaan umpan dan perangkap serta menutup laluan tikus serta penghapusan tempat pembiakannya.

“Selain itu, pihak pengendali kantin juga mesti menjaga kebersihan di kantin dan menjalankan aktiviti kawalan makhluk perosak di lokasi sumber.“Pelaksanaan aktiviti itu satu daripada satu skop kontrak dan tanggungjawab operator kantin dengan pihak hospital,” katanya.Katanya, JKN Johor dan HSI mengambil berat isu berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.“Pihak kami akan sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan aktiviti pencegahan kerosakan serta kawalan makhluk perosak dijalankan oleh pihak konsesi dan aktiviti pembersihan juga dilakukan oleh pengusaha kantin.“Pengguna boleh menghubungi JKN Johor atau PKD yang terdekat jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan,” tambahnya.