PUTRAJAYA: Pembayar cukai yang menerima surat dan emel daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya membuat pelaporan secara sukarela di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), tidak perlu resah jika tidak mempunyai akaun bank di luar negaraMenteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata PKPS adalah proses pemutihan cukai oleh LHDN untuk membantu mereka yang membuka akaun bank di luar negara dengan wang pendapatan daripada Malaysia yang belum dilapor atau dikenakan cukai.

Katanya, pembayar cukai dalam kategori itulah yang diminta dalam emel atau surat berkenaan untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan mereka kepada LHDN.“Pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara boleh membuat pelaporan secara sukarela jika terdapat pendapatan yang disimpan di dalam akaun bank luar negara yang sumbernya diperoleh daripada pendapatan yang diterima daripada Malaysia, tetapi belum dilapor atau dikenakan cukai.“Jika pendapatan ini sudah dilapor kepada LHDN atau dikenakan cukai dan kemudian disalurkan ke luar negara, maka segala-galanya adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pihaknya dilaporkan menerima banyak pertanyaan daripada individu yang menerima surat dan emel daripada LHDN berkaitan PKPS.Guan Eng berkata, satu emel atau surat baharu akan dihantar semula oleh LHDN untuk menggantikan surat edaran PKPS sebelum ini supaya tidak timbul lagi sebarang salah faham.Mengulas lanjut, beliau berkata, prosedur pembukaan akaun bank di luar negara adalah seragam di peringkat antarabangsa, di mana butiran lanjut tentang pendaftaran dan maklumat percukaian perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa negara berkenaan.

“Di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ditandatangani lebih 100 negara, LHDN sudah mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September 2018,” katanya.Guan Eng berkata, kerajaan bersetuju untuk memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti 10 peratus jika cukai itu dilaporkan sebelum 31 Mac 2019 atau 15 peratus jika dilaporkan antara 01 April 2019 sehingga 30 Jun 2019.

Katanya, beliau juga meminta LHDN mengambil tindakan tegas terhadap aduan yang diterima berhubung segelintir pegawai LHDN yang cuba mengambil kesempatan di atas pelaksanaan PKPS dengan menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan.“Saya ingin menegaskan tidak ada perubahan dalam sistem dan kuantum penalti cukai yang berkuat kuasa untuk pembayar cukai dalam Malaysia (masih menggunakan struktur penalti yang sama).“Tindakan perubahan yang dibuat adalah menghentikan serbuan ke rumah pembayar cukai pada tengah malam oleh pegawai bersenjata dan bertopeng muka sebelum ini (operasi Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Negara (NRRET)),” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung PKPS, pembayar cukai boleh mengunjungi Pejabat LHDN berhampiran atau menghubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (luar negara) atau emel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..