mymetroKhamis, 4 Jun 2020 @ 12:06 PM

KERAJAAN Terengganu sedang merangka satu prosedur operasi standard (SOP) untuk peniaga yang menjalankan perniagaan secara dalam talian di rumah bagi memastikan aspek kebersihan dipatuhi.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kajian itu akan merangkumi suntikan tifoid dan lesen perniagaan seperti pemilik premis yang lain.

Katanya, trend perniagaan mula berubah dengan kewujudan peniaga secara dalam talian terutama yang mengendalikan perniagaan di rumah.

"Perniagaan secara dalam talian ini terutama di rumah sukar dikawal terutama dalam aspek kebersihan ini, jadi kita sudah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk sediakan satu SOP baharu berhubung perkara ini.

"Kita sedang menyiapkan satu SOP bagaimana penyediaan makanan di rumah bagi peniaga yang tidak ada premis perniagaan untuk memastikan makanan disediakan dengan selamat," katanya.

Dr Alias berkata, kajian berhubung perkara itu perlu diteliti dengan sebaik mungkin kerana ia membabitkan pelbagai aspek sebelum ia boleh dikuat kuasa.

Katanya, pihaknya yakin hasil kajian itu akan diperoleh dalam masa terdekat bagi mengelak kejadian keracunan makanan berulang.

Media semalam melaporkan mangsa keracunan puding buih meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas 10 hari bertarung nyawa.

Wanita berusia 25 tahun dari Marang menghembuskan nafas terakhir di ICU jam 10.40 pagi kerana kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.

Selain mangsa, terdapat seramai 98 mangsa dari Kuala Terengganu dan Marang mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/585845/kaji-sop-perniagaan-online-dari-rumah