FOMCA menyambut baik dan menyokong penuh pelaksanaan Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0) oleh Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai satu langkah strategik yang amat diperlukan dalam menghadapi realiti baharu ekonomi digital.
Hari ini, landskap kepenggunaan telah berubah sepenuhnya. Jika sebelum ini pengguna beroperasi dalam persekitaran kedai fizikal dan pusat beli-belah, kini pengguna berinteraksi dalam ekosistem digital yang melibatkan platform dalam talian, kecerdasan buatan (AI), algoritma dan rangkaian global tanpa sempadan.
Bersama perubahan ini, risiko utama juga telah berubah daripada isu harga dan kualiti asas kepada cabaran baharu seperti manipulasi pasaran, eksploitasi data, penipuan digital dan scam.
Sehubungan itu, FOMCA melihat DPN 2.0 sebagai satu dasar yang penting kerana ia bukan sahaja mengiktiraf perubahan ini, tetapi turut memperkenalkan pendekatan yang lebih menyeluruh untuk melindungi pengguna dalam era digital.
Salah satu teras utama dasar ini ialah memperkasa literasi pengguna sebagai perisai utama. Dalam dunia yang semakin mencabar, perlindungan pengguna tidak lagi boleh bergantung kepada nasib atau tindak balas selepas kerugian berlaku. Pengguna perlu dilengkapkan dengan keupayaan untuk memahami hak mereka sebagai pengguna digital, peka terhadap risiko manipulasi dan penipuan, serta mengetahui saluran yang betul untuk bertindak melindungi diri dan aset mereka.
Dalam masa yang sama, DPN 2.0 turut memberi penekanan kepada menegakkan integriti pasaran dalam talian. FOMCA menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh undang-undang sedia ada ke arah pembentukan kerangka khusus bagi pasaran digital. Ini termasuk memastikan ketelusan maklumat di mana spesifikasi produk mesti jelas dan tidak mengelirukan, memastikan integriti harga tanpa kos tersembunyi atau manipulasi harga dinamik yang menindas pengguna, serta menjamin keadilan pengguna melalui proses pemulangan wang yang mudah, pantas dan adil.
FOMCA berpandangan bahawa prinsip ini amat penting dalam menangani isu semasa seperti scam digital, penipuan cash on delivery (COD), serta iklan mengelirukan termasuk penggunaan teknologi deepfake AI yang semakin berleluasa. Dalam banyak kes, pengguna menjadi mangsa kerana kekurangan maklumat, ketidakseimbangan kuasa dengan platform, dan kelemahan dalam mekanisme perlindungan.
Melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), FOMCA terus menerima aduan berkaitan pembelian dalam talian, barangan yang tidak sampai, kesukaran mendapatkan bayaran balik, dark patterns, caj tersembunyi dan taktik jualan agresif. Corak aduan ini menunjukkan bahawa perlindungan pengguna perlu diperkukuh secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut penguatkuasaan tetapi juga dari segi pencegahan dan pendidikan.
FOMCA turut menyokong pendekatan kerajaan yang digariskan dalam dasar ini, yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan rakan strategik bagi menyantuni golongan luar bandar, belia dan kumpulan rentan. Perlindungan pengguna mesti bersifat inklusif dan tidak meninggalkan mana-mana golongan.
Selain itu, FOMCA melihat DPN 2.0 selari dengan agenda Malaysia MADANI dalam menangani isu kos sara hidup melalui inisiatif seperti Jualan Rahmah dan Payung Rahmah. Dalam keadaan tekanan ekonomi, pengguna lebih mudah terdedah kepada penipuan dan eksploitasi, justeru perlindungan pengguna menjadi lebih kritikal.
FOMCA menyeru semua pihak termasuk kerajaan, industri, platform digital, penyedia perkhidmatan dan masyarakat untuk bersama-sama memastikan pelaksanaan DPN 2.0 memberi impak sebenar kepada pengguna.
Dasar Pengguna Negara 2.0 merupakan satu anjakan penting daripada pengguna sebagai pembeli biasa kepada rakan strategik dalam ekonomi negara. Dengan pengguna yang berpengetahuan dan diperkasakan, pasaran akan menjadi lebih adil, telus dan beretika.
DR. SARAVANAN THAMBIRAJAH
Ketua Pegawai Eksekutif


