(Gambar fail) Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Saravanan Thambirajah.KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas khas wajar ditubuhkan bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memantau aduan berhubung penipuan kewangan dalam talian, sejajar akta baharu yang sedang dirangka kerajaan untuk membanteras jenayah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Saravanan Thambirajah, ketika menyuarakan cadangan itu menyarankan pasukan terbabit bukan saja dianggotai wakil institusi perbankan dan kementerian berkaitan, tetapi juga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tindakan lebih tegas dapat diambil.

Katanya, pemantauan itu akan dapat menjamin pihak institusi perbankan tidak mengambil mudah aduan berkenaan, sekali gus boleh bertindak pantas bagi mengekang penipuan kewangan dalam talian.

Selain tindakan tegas, beliau berkata, kerajaan melalui BNM juga harus memantau akta baharu itu nanti bagi memastikan bank bertanggungjawab dan mematuhinya.

"Justeru, perlu ada sebuah pasukan khas yang membabitkan keseluruhan pemegang taruh, termasuk bank, persatuan pengguna serta industri, agar semua kes dapat dipantau dan tidak ada pihak yang lepas tangan," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan akta baharu yang sedang dirangka bagi meningkatkan keselamatan digital dan membanteras penipuan dalam talian, akan turut mengambil kira tindakan sewajarnya terhadap institusi perbankan, sekiranya terdapat kecuaian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, dipetik berkata melalui Rang Undang-Undang (RUU) terbabit, pihak bank tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab sekiranya didapati menjadi punca kepada kes penipuan dalam talian.

Sambil mengalu-alukan pewujudan akta khusus untuk menangani jenayah penipuan dalam talian, Saravanan berkata, antara aspek perlu diberi penekanan ialah kelemahan penguatkuasaan.

"Kita memerlukan penguatkuasaan lebih kuat dan bertanggungjawab. Apabila ada penguatkuasaan yang kuat, ia akan menyebabkan bank mengambil tindakan terhadap semua isu berkaitan 'scammer' itu," katanya.