Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3, Putrajaya kerana disyaki menjual produk makanan tertera ‘No Palm Oil’ pada plastik pembungkusan produk berkenaan semalam. Foto ihsan KPDNKUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada produk dengan label 'No Palm Oil' (NPO) atau 'Tiada Minyak Sawit' terlepas ke pasaran negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr T Saravanan, berkata tindakan penguatkuasaan ketat itu penting kerana kemasukan produk yang memboikot minyak sawit itu berisiko memberi mesej yang salah kepada pengguna tempatan.

"Jika produk ini terlepas masuk ke negara ini, ia berisiko menyebabkan maklumat yang salah kepada masyarakat.

"Selain itu kerajaan juga perlu memastikan semua peniaga perlu peka dengan isu ini dan peraturan sedia ada dengan melakukan sesi libat urus bersama mereka," katanya kepada BH, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas amaran tegas Kementerian Perladangan dan Komoditi kepada peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini, supaya tidak menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Ghani, dilaporkan berkata pihaknya akan bertindak tegas terhadap kempen boikot terbabit yang sebelum ini dilaksanakan dengan agresif di luar negara.

Pada masa sama, Saravanan berkata, kempen besar-besaran juga perlu dilaksanakan untuk menyokong minyak sawit negara khususnya di peringkat sekolah dan komuniti.