KUALA LUMPUR: Tiada alasan untuk pengusaha dan peniaga menaikkan harga barangan atau perkhidmatan ketika ini susulan penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) kepada pengguna komersial dan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), T Saravanan, berkata ini kerana penurunan itu walaupun tidak banyak, ia masih mampu meringankan beban mereka yang terbabit.
Katanya, FOMCA amat menyambut baik usaha kerajaan kerana ia sekali gus membantu meringankan beban pengguna yang ketika ini terkesan dengan kenaikan harga barangan.
"Kami berharap penurunan ini tidak akan memberi implikasi kepada mana-mana pihak kerana selama ini kita tahu jika ada apa-apa kenaikan, peniaga akan memberi alasan terpaksa menaikkan harga barangan atau perkhidmatan kerana kos meningkat.
"Dengan penurunan ini walaupun sedikit, ia diharap tidak akan dijadikan alasan kepada peniaga untuk naikkan harga barangan," katanya kepada BH.
Semalam, kerajaan membuat keputusan mengekalkan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung sehingga 31 Disember ini.
Selain itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut memaklumkan kerajaan turut bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh sama.
Pengguna komersial dan industri pula akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh Julai hingga Disember 2024.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Tan Tian Meng turut menyambut baik penurunan kadar surcaj berkenaan.
"Dalam keadaan persekitaran kos perniagaan yang masih tinggi, penurunan tarif elektrik akan bantu meringankan beban kos operasi peniaga dan pengilang, terutama bagi industri dengan penggunaan elektrik yang tinggi.
"Kami berharap kerajaan akan sentiasa memastikan iklim pelaburan yang kondusif dan berdaya saing, termasuk kos perniagaan yang kompetitif dan memadai untuk merancakkan perkembangan ekonomi dan perniagaan.
"Ini termasuk penyelarasan birokrasi dan elakkan beban tambahan yang berkaitan dengan kos pematuhan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), William Ng, berkata penurunan kadar surcaj ICPT amat baik, terutama kepada PKS.
Katanya, ia akan membantu mengurangkan beberapa jangkaan kenaikan kos input berikutan rasionalisasi diesel dan kenaikan gaji serta kos lain awal tahun ini.
"SAMENTA berharap ICPT digantikan dengan mekanisme yang lebih cekap yang turut mengambil kira produktiviti pengeluar tenaga.
"Tenaga Nasional mempunyai sasaran dalaman untuk mengurangkan pergantungannya kepada arang batu, sekali gus bebas arang batu menjelang 2050," katanya.
Jelas beliau, ICPT dimaksudkan adalah sebagai langkah sementara untuk menyokong pengeluar dalam mengatasi turun naik harga bahan api global dan bukan sebagai cara untuk menjamin keuntungannya.
Katanya, ia perlu memastikan operasinya, termasuk jumlah pekerja serta perbelanjaan operasi lain, adalah seiring dan menyokong agenda nasional.