KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memantau penjualan barangan import bernilai rendah (LVG) bagi memastikan penjual tidak mengambil kesempatan menaikkan harga susulan pelaksanaan cukai 10 peratus bermula 1 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah berkata gesaan itu dibuat susulan tindakan segelintir peniaga yang didapati mula menaikkan harga barang LGV jualan dalam talian. Kataya, ketika ini masih ramai peniaga yang keliru mengenai kaedah dan cara cukai itu digunapakai.
"Pengguna juga keliru kerana terdapat banyak cukai seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), cukai mewah dan cukai barangan nilai rendah.
"Harus diingat, cukai LVG ditanggung oleh pengguna, di mana mereka yang perlu membayar kenaikan 10 peratus itu. Kalau harga asal sesuatu barang adalah RM10, cukai yang dikenakan adalah RM1.
Oleh itu, harga yang perlu dibayar adalah RM11," katanya kepada BH.
Tinjauan BH di platform jualan dalam talian seperti Shopee, Lazada dan TikTok mendapati banyak barangan yang dijual sudah mula naik harga.
Rak pinggan mangkuk dari China yang sebelum ini dijual pada harga RM105, kini berharga RM206.80
Aksesori kereta pula naik RM5, apabila dijual pada harga RM80 berbanding RM75 sebelum ini.
Saravanan berkata peniaga perlu telus dari segi harga terperinci dan kualiti barang yang dijual.
"Sebarang cukai yang diperkenalkan akan menyebabkan kenaikkan harga barang tanpa justifikasi. Disini kerajaan kena mainkan peranan supaya peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang," katanya.
Kastam mentakrifkan barang bernilai rendah sebagai semua barangan tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok, yang dijual pada harga tidak melebihi RM500 dan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.
Mereka yang menjual barang bernilai rendah di platform dalam talian atau mengendalikan pasaran dalam talian untuk penjualan dan pembelian barang bernilai rendah mesti mendaftar dengan kastam, jika jumlah nilai jualan barang bernilai rendah yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.
Secara berasingan, kastam turut menerbitkan satu set garis panduan mengenai pelaksanaan cukai jualan barang bernilai rendah di portalnya bertarikh 3 November lalu.