18 Apr 2024, 08:15 AM
Fomca berkata kenaikan harga tidak sepatutnya berlaku kerana kos pengangkutan dijangka tidak terkesan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel.
PETALING JAYA: Penguatkuasaan berterusan dan aduan rasmi pengguna mampu menjadi ‘kunci’ untuk mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga apabila rasionalisasi subsidi diesel dilaksanakan, kata persatuan pengguna.
Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Nur Asyikin Aminuddin berkata kenaikan harga barangan tidak sepatutnya berlaku kerana kos mengangkut barang dijangka tidak terkesan susulan perluasan bantuan diesel kepada syarikat pengangkutan.
Menerusi projek rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0), sembilan jenis sektor pengangkutan darat (barangan) akan menikmati subsidi termasuk lori kargo am, minuman botol, sejuk beku serta kotak.
“Tiada alasan untuk sektor pengangkutan nak salurkan kenaikan (harga diesel) kepada pengguna kerana hampir semua sektor pengangkutan komersial tidak terkesan.
“Namun, kita jangka akan ada peniaga ambil kesempatan dan di sinilah peranan anggota penguat kuasa untuk memantau agar tidak berlaku aktiviti pencatutan yang melampau,” kata Nur Asyikin kepada FMT.
“Pengguna juga harus memainkan peranan dengan menyalurkan aduan rasmi kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.”
Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat kerajaan merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.
Katanya, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel terlalu murah.
Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, mendedahkan negara mengalami kerugian RM4.5 juta akibat ketirisan tiga juta liter diesel diseludup ke luar negara setiap hari.
Ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak Barjoyai Bardai pula berkata penjimatan RM29 bilion dijangka diperoleh menerusi pelarasan subsidi diesel itu selain petrol akan membantu menstruktur semula belanjawan masa depan dengan mengutamakan sektor kritikal antaranya pendidikan dan kesihatan.
“Kerana kedua-dua sektor ini banyak bergantung kepada kemampuan kewangan negara menguruskannya,” katanya.
Namun, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd Afzanizam Abdul Rashid tidak menolak kuasa beli pengguna akan terkesan susulan sentimen berhati-hati berpunca daripada jangkaan kenaikan harga barangan.
“Kenaikan harga secara tiba-tiba akan beri kesan negatif kepada ekonomi domestik malah dijangka menyebabkan masalah lain termasuk sentimen perniagaan dan pengguna melemah yang mana akan melambatkan pemulihan serta pertumbuhan sektor-sektor penting,” katanya.