KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpandangan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang dilanjutkan bagi tempoh setahun melalui Belanjawan 2024, semalam, perlu ditingkatkan kepada RM200.
Timbalan Setiausaha Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin, berkata jumlah bantuan itu berupaya ditingkatkan selaras dengan penjimatan subsidi melalui langkah penguatkuasaan yang lebih tegas.
"Berdasarkan perkembangan semasa, dengan kos sara hidup yang meningkat, peruntukan SARA mungkin boleh ditingkatkan lagi pada masa depan," katanya kepada BH, di sini hari ini.
Melalui Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat SARA dengan mengkreditkan sebanyak RM100 ke dalam myKad bagi tempoh setahun, berbanding enam bulan sebelum ini.
Penerima SARA juga akan ditingkatkan kepada 700,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun hadapan, berbanding 200,000 tahun ini selepas menerima maklum balas yang amat baik.
Selain itu, kadar maksimum STR juga dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelum ini, manakala jumlah minimum bagi golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.
Nur Asyikin berkata, FOMCA berharap isu ketirisan dapat dikurangkan dan melalui penjimatan subsidi, ia dapat digunakan bagi membantu rakyat yang lebih memerlukan.
Beliau berkata, peningkatan sumbangan STR juga dilihat baik untuk pengguna, khususnya dalam membantu mereka yang memerlukan.
"Kami berharap semua pihak dapat menggunakan peruntukan Belanjawan 2024 ini dengan sebaiknya bagi melaksanakan amanah yang diberikan demi kesejahteraan pengguna," katanya.