minyak masak botolKUALA LUMPUR: Langkah penyusunan semula subsidi bermula tahun depan penting untuk memastikan hanya rakyat yang benar-benar layak menerima subsidi kerajaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penyusunan itu juga bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal.

Beliau berkata, bagi melaksana penyusunan semula subsidi itu tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan bekalan barangan makanan terus stabil.

“Sebagai contoh, memang ketika ini usaha diteruskan bagi meningkatkan bekalan dan jaminan makanan untuk rakyat, sebab kalau dirujuk inflasi, kumpulan wajaran paling besar yang menyumbang kepada keadaan (meningkatnya) inflasi itu adalah barangan makanan.

“Jadi, kita akan pastikan bekalan untuk tahun depan lebih terjamin,” katanya menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.


Jawapan diberi Akmal Nasrullah itu bagi mewakili Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang ketika ini sedang mendapatkan rawatan selepas dilaporkan mengalami masalah jantung.

Menjawab soalan asal Onn mengenai keresahan pengguna berikutan harga barangan terus naik biarpun Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun berterusan sehingga ke paras paling rendah iaitu dua peratus, Akmal Nasrullah berkata, kadar inflasi negara pada September meningkat pada kadar lebih perlahan kepada 1.9 peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh 30 bulan.

“Penyederhanaan ini disokong oleh penurunan berterusan indeks beberapa komponen seperti kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, kumpulan pengangkutan, restoran dan hotel.

“Bagaimanapun, masih terdapat kumpulan yang mencatatkan peningkatan termasuk pakaian dan kasut serta minuman alkohol dan tembakau,” katanya.

Secara dasarnya, beliau berkata, penyederhanaan inflasi bukan bermaksud penurunan paras harga, tetapi ia lebih merujuk kepada peningkatan harga pada kadar yang lebih perlahan.

“Inflasi terkawal pada kadar dua hingga tiga peratus amat penting bagi ekonomi sesebuah negara untuk terus berkembang. Keadaan ini berbeza dengan deflasi, yang merujuk kepada penurunan tingkat harga barangan dan perkhidmatan secara berterusan, sekali gus mencatatkan inflasi yang negatif,” katanya.