Marketing for ecommerce businesses: strategies and tips for success -  Startups.co.ukKUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima hampir 10,377 aduan melibatkan transaksi dalam talian sehingga Ogos, tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, aduan melibatkan transaksi dalam talian merangkumi 35 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima oleh KPDN.

Tambah Fuziah, KPDN kini sedang mengawal selia Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 bagi mencadangkan mekanisma kawal selia bersesuaian untuk memastikan kebajikan pemain industri dan pengguna terjamin.

“Regulasi yang bakal dilakukan bukan meliputi undang-undang semata-mata. Disebabkan perkembangan sektor e-dagang yang sangat pesat, kita perlu lihat bagaimana untuk tambah baik atau mungkin datang dengan (mekanisme) baharu.

“Sebagai contoh, penipuan yang berlaku dalam talian. Kami perlu kaji apakah mekanisme atau rangka kerja terbaik untuk kawal masalah ini,” katanya ketika ditemui di sidang akhbar Seminar Today Malaysia e-Commerce di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral di sini, hari ini.



Tambahnya, selaras dengan perkembangan sektor e-dagang, terdapat pelbagai lagi cabaran lain yang dihadapi olen pengguna pada masa kini.

“Antara aduan yang diterima adalah berkenaan barangan yang dibeli dalam talian tidak sampai atau tidak memenuhi kehendak pelanggan.

“Kadangkala, standard keselamatan produk yang dibeli juga tidak mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

“Ada juga peniaga dalam talian yang menggunakan teknik tidak beretika seperti ‘dark pattern’ mempengaruhi dan mengelirukan pengguna,” katanya.

Oleh itu, Fuziah mengingatkan pengguna agar sentiasa berhati-hati ketika membeli melalui platform e-dagang kerana tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai isu ini masih lagi berada dalam tahap sederhana.

“Kadangkala, pengguna tidak tahu mereka mempunyai kuasa dan hak dari segi undang-undang sekiranya terpaksa membeli dengan harga yang berbeza dengan apa yang ditawarkan di platform e-dagang.

“Sekiranya pengguna tahu mengenai hak mereka, sukar untuk peniaga di platform e-dagang ini mengambil kesempatan ke atas mereka,” katanya.