Terpaksa Naikkan Harga Beras Import, Ini Penjelasan Pemborong Di KuchingKUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil inisiatif lebih proaktif dalam aspek keselamatan makanan, khususnya beras supaya negara tidak terlalu bergantung kepada makanan import yang disifatkan terlalu mahal.

Setiausaha Agung FOMCA, Saravanan Thambirajah, berkata tidak dinafikan negara kini bergantung kepada makanan import di mana dilaporkan sudah mencapai nilai RM60 bilion.

Katanya, sekiranya negara memberi tumpuan lebih kepada aspek keselamatan makanan negara, secara tidak langsung kos import boleh dikurangkan dan dalam masa yang sama penghasilan produk tempatan boleh menampung permintaan pasaran tempatan.

"Buat masa ini kita hanya mampu menampung sebanyak 75 peratus saja keselamatan makanan, berbanding sepatutnya 100 peratus.

"FOMCA juga menerima banyak maklumat daripada pengguna di mana beras import semakin mahal menyebabkan permintaan terhadap beras tempatan meningkat.


"Disebabkan permintaan meningkat dan kekurangan beras tempatan di pasaran, ramai pengusaha restoran dan hotel membuat pembelian panik, sekali gus memberi kesan lebih besar terhadap masyarakat khususnya B40 dan M40.

"Secara tidak langsung, perkara ini juga akan menjejaskan kuasa beli rakyat," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Awal bulan lalu, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Justeru harga beras putih import melonjak daripada RM33 kepada RM39 menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.

Saravanan berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam isu ini dan pihak seperti restoran dan peniaga diminta tidak pentingkan diri sendiri.

"Kos harga makanan dan sara hidup yang dilaporkan tinggi ketika ini memang tidak dapat dikawal kerana kita bergantung kepada makanan import.

"Jadi BERNAS juga perlu memberi perhatian terhadap isu ini dan pastikan bekalan cukup untuk rakyat," katanya.