OPR BlogBANK Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus sehingga akhir tahun ini.

Pada Khamis, bank pusat mengumumkan kadar utama itu telah dikekalkan pada 3.00 peratus. Ini menandakan sesi ketiga berturut-turut apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) telah memilih untuk mengekalkannya pada tahap yang sama.

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), MPC berkata, pendirian semasa dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa inflasi dan pertumbuhan.

    "Kami mengambil ini sebagai isyarat bahawa tiada keperluan mendesak untuk melaraskan OPR dalam tempoh terdekat, walaupun prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua 2023 sederhana dan persekitaran luaran yang lemah.


"Dengan mengambil kira (faktor) ini, kami mengekalkan jangkaan yang BNM akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus dalam mesyuarat akhir MPC 2023,” katanya dalam nota pada Jumaat.

Mesyuarat MPC yang terakhir dan keenam tahun ini akan diadakan pada 1 dan 2 November.

Public Investment Bank Bhd pula berpandangan bahawa kadar semasa membolehkan BNM menilai dengan teliti kesan kenaikan kadar kumulatif 125 mata asas (bps) sejak permulaan kitaran kenaikan kadar pada Mei 2022.

Ia berpendapat ketidaktentuan global yang semakin meningkat dan kesan asas yang tinggi akan memberikan cabaran yang getir untuk mengekalkan momentum ekonomi pada suku akan datang.