prKUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa pesakit supaya lebih cakna dan mengambil tahu hak-hak mereka sebagai pengguna di bawah Piagam Pesakit yang telah dikemas kini.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu perlu menjadi keutamaan bagi memastikan pesakit mendapat informasi dan kefahaman mendalam mengenai isu atau masalah kesihatan yang dihadapi selain berhak membuat pilihan sebagai pengguna.

“Saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengambil tahu segala kandungan yang telah dikemas kini di dalam Piagam Pesakit baharu ini. Dengan memahami hak dan tanggungjawab sebagai pesakit, anda memperkasa diri untuk membuat sebarang keputusan mengenai kesihatan diri.

“Tidak ada siapa boleh jangka bila kita memerlukan perkhidmatan kesihatan dan perubatan. Jadi, adalah penting untuk setiap daripada kita melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai hak sebagai pesakit.

“Selain mengetahui hak, pesakit juga harus tahu tanggungjawab. Sebagai contoh, tanggungjawab bekerjasama dengan kakitangan perubatan, menyediakan rekod kesihatan yang tepat, menghadiri janji temu, patuh kepada ubat-ubatan yang dipreskripsi serta memgambil tahu mengenai tahap kesihatan kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman ( MoU) Piagam Pesakit di Bangunan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di sini hari ini.

MoU tersebut melibatkan MMA, Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Selain itu menurut Zaliha, kementerian juga menyokong pelaksanaan Piagam Pesakit yang telah dikemas kini itu yang disifatkan sesuai dengan perkembangan dan keperluan semasa rakyat.

“Piagam Pesakit itu dilihat sebagai satu simbol usaha kolektif kita untuk menanam nilai ketelusan, memperkasa pesakit dan meningkatkan kualiti sistem perkhidmatan kesihatan negara.

“Piagam Pesakit yang dikemas kini ini juga membolehkan pesakit untuk lebih memahami proses perkhidmatan kesihatan yang mereka inginkan. Di mana, segala keputusan dibuat secara kolaborasi, dipandu dengan komunikasi terbuka dan persefahaman antara pesakit dan doktor.

“Saya menyokong kerjasama MoU antara MMA, FOMCA, APHM dan MPS ini yang turut mengambil kira aspek perkembangan teknologi dan perubahan landskap perkhidmatan kesihatan dan perubatan negara,” katanya.