kasiSHAH ALAM: Kerajaan membuka permohonan peruntukan melalui Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) sebagai salah satu usaha untuk membantu orang ramai melalui penambahbaikan infrastruktur kecil awam.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, IKR ialah inisiatif baharu untuk memudahkan proses permohonan projek infrastruktur awam berskala kecil di bawah RM200,000 secara terus kepada kementerian itu.

Menurutnya, skop projek kecil yang dibenarkan adalah saliran, perparitan, jalan, jambatan, titi, laluan pejalan kaki, cerun, tebing, gabion, benteng, gelanggang sukan, padang permainan, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan rekreasi.

“Selain itu, dewan terbuka, balai raya, hentian bas, bumbung tapak perhimpunan sekolah, masjid, surau dan madrasah juga merupakan skop kecil yang dibenarkan di bawah IKR,” katanya menerusi ciapan di X pada Isnin.

Pada 20 Jun lalu, Rafizi memperuntukkan sebanyak RM500 juta melalui IKR yang memanfaatkan sekurang-kurangnya 2,500 projek kemudahan rakyat di seluruh negara.

Beliau berkata, ia merupakan bantuan Kerajaan Persekutuan dan bertujuan untuk mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam yang terletak di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan negeri dan PBT.

Tambah Rafizi, terdapat tiga manfaat yang akan diperoleh iaitu pertama, menyelesaikan projek infrastruktur kecil awam yang memberikan kesan secara langsung kepada rakyat dalam aspek penggunaan.

“Kedua, membaik pulih infrastruktur awam dengan lebih cepat sekaligus menyelesaikan peruntukan tidak mencukupi di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Selain itu, ketiga ialah untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil di seluruh negara mendapat manfaat ekonomi dari projek-projek kecil,” ujarnya.

Jelas beliau, permohonan akan dinilai Kementerian Ekonomi dan dikemukakan kepada agensi berkaitan sebelum peruntukan tersebut akan disalurkan.