GST 123SHAH ALAM - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak perlu dilaksanakan buat masa ini sekiranya kewangan negara masih boleh ditanggung kerajaan dalam perbelanjaan sekarang.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu mengambil kira kesan yang dialami rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup dan daripada segi rasionalisasi struktur cukai negara jika mahu melaksanakannya.

“Bagaimanapun, saya melihat pelaksanaannya perlu dibuat jika kerajaan membuat perubahan pada struktur ekonomi yang dimahukan seperti Ekonomi Madani.

“Ia bagaimanapun perlu dilaksanakan secara bertahap tanpa membuatkan rakyat panik, malah mendapat kefahaman (buy-in) terlebih dahulu dan lebih baik sekiranya mendapat sokongan semua pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon yang menggesa kerajaan untuk mengkaji pelaksanaan semula GST yang dimansuhkan pada 2018.

Beliau berkata, GST adalah sistem cukai paling cekap di dunia, dengan lebih 172 daripada 193 negara yang melaksanakannya.

Tambah Aimi Zulhazmi, jika ingin melaksanakan GST, dua perkara perlu diambil kira iaitu kadar tidak boleh terlalu tinggi sehingga lapan ke sembilan peratus.

Jelasnya, kadar tiga peratus sudah memadai dan banyak membantu dalam meningkatkan kewangan kerajaan.

“Kedua, bila melaksanakan GST, kerajaan harus peka dan melaksanakan modus operandi yang jelas. Kalau rakyat nak dapatkan rebat, prosesnya kena cepat kerana ia akan mengganggu aliran tunai.

“Selain itu, kadar cukai pendapatan dan cukai korporat perlu diturunkan agar tidak membebani rakyat, barulah GST akan dapat sambutan orang ramai,” ujar beliau.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, daripada sudut ekonomi, GST adalah sesuatu yang baik dan wajar dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, tempoh pelaksanaannya bergantung atas kebijaksanaan kerajaan.

“Sebagai ahli ekonomi, kami menetapkan GST sebagai salah satu mekanisme percukaian yang adil kepada semua pihak dan kita telah melaksanakannya pada 2014 sebelum dimansuhkan pada 2018.

“Hasil kutipan GST pada 2017 sahaja berjumlah lebih RM40 bilion dan dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai projek termasuk menaik taraf infrastruktur serta penambahbaikan sistem pengangkutan awam dalam membangunkan negara,” katanya.

Ujar beliau, perkara itu perlu dikaji perlahan-lahan sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang.