fomca logoJulai 4, 2022 @ 7:39pm
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan perlu ditingkatkan bagi mengesan penyalahgunaan subsidi barang selain penyeludupan barang bersubsidi hingga menyebabkan bekalan barang berkurangan di pasaran tempatan.

Perkara itu disuarakan dua persatuan peniaga yang melihat isu bekalan barang bersubsidi tidak akan selesai walaupun kerajaan mengambil pelbagai pendekatan membantu rakyat terutama kumpulan B40 dan M40 kesan kenaikan harga akibat cabaran ekonomi global.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin, berkata sudah tiba masanya kerajaan meningkatkan penguatkuasaan di sempadan bagi menyekat penyeludupan barang bersubsidi seperti minyak masak paket berikutan peningkatan RM4 bilion subsidi bahan makanan itu.

Dalam isu minyak masak paket, katanya, bekalan tidak bermasalah dan pembekal serta pengedar masih membekalkan kepada peniaga mengikut kuota ditetapkan.

"Bekalan masih tiba sampai mengikut masa ditetapkan. Setakat ini, pengedar dan pembekal mengikut waktu yang ditetapkan.

'Masalahnya, bekalan minyak bersubsidi ini tidak pernah cukup walaupun subsidi ditingkatkan dua kali ganda kerana berlaku ketirisan apabila ada yang mengambil kesempatan menyeludup ke luar negara.

"Malah, saya diberitahu minyak bersubsidi ini turut dihantar ke negara di Afrika,' katanya kepada BH.

Beliau mengulas usaha kerajaan memberikan subsidi RM77.3 bilion meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan tarif elektrik.

Ameer berkata, isu minyak masak berpaket tidak akan selesai selagi kerajaan memberi subsidi untuk bahan makanan itu, menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan dengan menyalahgunakannya.

Beliau percaya jika minyak masak berpaket tidak disubsidi, isu bekalannya dapat diselesaikan, namun ramai yang akan marah dengan cadangan itu.

'Kerajaan prihatin dengan menambah subsidi minyak paket untuk membantu kumpulan kurang berkemampuan tetapi ia disalah guna oleh kumpulan yang tidak patut menikmatinya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosli Sulaiman, berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu meningkatkan penguatkuasaan ke atas barang bersubsidi seperti minyak masak paket, gas memasak dan ayam.

Katanya, peniaga termasuk pengusaha restoran menggunakan barang bersubsidi itu untuk beroperasi yang secara tidak langsung menafikan hak kumpulan B40 selaku penerima subsidi.

"Penguatkuasaan ini bukan dibuat secara berkala tetapi berterusan kerana tindakan peniaga dan restoran itu tidak adil kepada rakyat.

"Mereka menggunakan barang bersubsidi tetapi menaikkan harga berlipat ganda dengan alasan kenaikan harga barang di pasaran kesan ekonomi global," katanya.

Mengulas isu sama, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pemberian subsidi yang besar oleh kerajaan melegakan pengguna dan kumpulan B40 di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, masih wujud ketirisan termasuk isu penyalahgunaan subsidi dan penyeludupan, menyebabkan subsidi barang tidak sampai kepada pengguna dan kumpulan sasar.

"Sudah sampai masanya kerajaan melihat kepada isu penyalahgunaan subsidi dan penyeludupan barang bersubsidi dengan meningkatkan penguatkuasaan.

"Pada masa sama, kerajaan perlu melihat sikap pembekal memanipulasi bekalan bagi memberi tekanan kepada harga barang.

"Contohnya, kes bekalan ayam. Apabila kerajaan tetapkan harga siling RM8.60, pembekal dakwa bekalan kurang dan jika ada pun ayam yang kecil tapi selepas harga siling ayam standard ditetapkan 40, ada banyak pula bekalan.

"Ini satu bentuk tekanan dengan manipulasi bekalan untuk menaikkan harga barang dan seperti wujud pakatan daripada pengeluar dalam isu ayam ini.

"Kita harap perkara yang sama tidak membabitkan barang keperluan yang lain," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/972976/barang-bersubsidi-disalah-guna-rakyat-yang-susah