fomca logoMay 26, 2022 9:40 AM
PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjangkakan harga barang makanan meningkat walaupun kerajaan dapat menstabilkan bekalan, lantaran beberapa unsur luar kawalan.

Meskipun isu bekalan makanan sedikit sebanyak dapat ditangani dengan pemansuhan Permit Kelulusan (AP), kadar tukaran matawang antara penentu harga barang kerana kebanyakannya diimport, kata ketua pegawai eksekutifnya Saravanan Thambirajah.

“Apabila kerajaan ‘membuka’ AP ini, ia akan dapat meningkatkan bekalan makanan dalam jangka pendek. Namun ini tidak memberi kesan kepada harga barangan kerana ia bergantung kepada kadar tukaran,” katanya kepada FMT.

“Apabila kadar tukaran tinggi, kos barangan meningkat dan harga barangan tidak akan berkurang. Mungkin meningkat sikit.”

Saravanan menyenaraikan beberapa lagi unsur yang mendorong kenaikan harga barang, seperti susut nilai ringgit, bekalan rendah ketika permintaan tinggi apabila sektor ekonomi dibuka selepas PKP dua tahun berakhir, dan peningkatan kos operasi perniagaan.

“Apabila peniaga menghadapi peningkatan kos, mereka akan cuba menaikkan harga barangan bagi menampung kos tersebut,” katanya.

Berdasarkan jangkaan itu, Saravanan menasihati pengguna agar ‘bersedia’ menghadapi peningkatan harga barang, walaupun banyak isi rumah B40 dan M40 ketika ini terkesan dengan kenaikan harga barang dan kuasa membeli yang berkurangan.

“Keadaan sebegini mula berlaku pada awal tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan khuatir ada peniaga mengambil kesempatan mengeksploitasi pengguna selepas kadar baharu gaji minimum sebanyak RM1,500 dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei bagi mengaut keuntungan sungguhpun kos barangan berkenaan mungkin tidak naik pun.

Kerajaan pada 18 Mei mengumumkan pemansuhan AP untuk mengimport bahan makanan serta-merta bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, ketika harga barangan keperluan dijangka meningkat sehingga 60% pada Jun.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/26/bekalan-dijangka-stabil-namun-kos-barang-mungkin-meningkat-kata-fomca/