fomca logoMei 8, 2022 @ 4:59pm
PUTRAJAYA: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kepada pengeluar atau peniaga yang menggunakan taktik 'menjual makanan sunnah' untuk melariskan produk mereka.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, berkata produk seumpama itu perlu dipantau supaya masyarakat tidak terpedaya dengan taktik jualan yang dianggap sebagai 'tunggang agama'.

"Kita harap selepas ini kerajaan dapat ambil tindakan yang lebih tegas supaya perkara seperti ini tidak berulang. Produk seumpama ini memerlukan pemantauan.

"Jika dilihat kini seperti tiada pemantauan yang dilakukan oleh mana-mana pihak berwajib, disebabkan itu berlakunya lambakan produk berkenaan," katanya kepada BH, hari ini.

Muka depan BH sebelum ini melaporkan jualan produk 'makanan sunnah dan penawar' kerana diiringi bacaan doa dan zikir ketika proses pembuatannya masih berleluasa di negara ini walaupun perkara itu jelas bertentangan dengan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah, produk yang didakwa sebagai keluaran Muslim itu juga dijual dengan harga yang mahal iaitu boleh mencecah RM500 bergantung kepada berat dan pakej beberapa jenis barangan tertentu
Produk berkenaan juga turut dipromosikan menerusi media sosial, aplikasi sembang serta e-dagang secara meluas dalam usaha menarik perhatian pembeli.

Ia bukan sahaja membabitkan pelbagai produk makanan dan minuman, kosmetik dan kesihatan tradisional, malah ada juga produk sedemikian didakwa menyembuhkan atau menghalang gangguan jin dan syaitan.

Sementara itu, Nur Asyikin berkata penjual juga dilihat banyak mengiklankan produk mereka melebihi daripada fungsi produk itu sendiri.

"Produk seperti ini jelas menunjukkan 'over claim' dan hanya menjual agama untuk menarik kepercayaan pengguna semata-mata," katanya.

Bagaimanapun, Nur Asyikin berkata, walaupun fungsi produk itu dipertikai, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada pengguna bahawa mereka berasa tertipu atau sebaliknya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/953126/syor-tindakan-tegas-pengeluar-penjual-produk-tunggang-agama